Tuesday, March 29, 2011

GLEE - "Teenage Dream" Full Performance!


really love diz video....x bosan bha ku tgk ni..haha...ku mau g dgr ni...hope my vip cumil enjoy it

Wednesday, March 23, 2011

M U N TEL I S C U T E

mownink u all...pgi ni sya serba coklat...hehe


ni lah sya...hehe...sya kat vet. dprtmnt

Sunday, March 20, 2011

~Mahar Cinta Camelia~

Aku hampir terlelap sambil bersandar di atas sofa di ruang tamu apabila tepukan keras dibahu hampir membuat aku terlompat. Aku segera berpaling untuk melihat Nadia tersengih-sengih sambil menjauhkan diri.

“Kau ni dah desperate sangat nak tengok aku pakai kain kapan kan?” Suaraku sedikit keras.

“Alah aku tahu jantung kau masih kuat nak terima kejutan macam tu sebab tu aku buat.” Balasnya selamba sambil melabuhkan punggung di sebelah.
Aku masih memejam mata. Letih menguruskan majlis di kampung masih terasa dan pemanduan dari Butterworth ke Kuala Lumpur cukup membuatkan urat sarafku seperti lumpuh.
Dan teman sepejabat dan serumahku ini, si Nadia, cukup tak senang hati melihat aku berehat. Ada saja benda yang dia buat untuk menaikkan darah aku.

Sekarang ni dok mencuit hujung hidung aku tak berapa mancung ni. Semakin aku tolak, semakin gatal tangan dia bertindak.
“Aku letih ni Nad. Kalau kau nak hidup lama lagi, jangan kacau aku.” Aku memberi amaran dengan mata masih terpejam.
“Kalau aku mati, kau pun gerenti tak hidup lama. Kita jumpa kat alam lain. Aku kacau kau lagi.” Itu pulak yang dijawabnya.
“Ceritalah pasal majlis kau tu. Aku nak tahu. Dahlah tak dapat pergi.” Merengek-rengek anak Hj Ibrahim ni sambil menggoncang-goncang lenganku.
Aku akhirnya membuka mata. Nadia tersenyum lebar. Aku membetulkan duduk yang sudah semakin melorot ke bawah.
“Apa yang kau nak tahu? Namanya majlis tunang. Dah tentu ada rombongan sebelah lelaki, ada cincin, ada scene sarung cincin. Yang sarungkan cincin aku tu mak saudara dia.”
Nadia tunduk merenung cincin yang tersarung di jari manisku. Tanda aku sudah menjadi tunangan orang.
“Cantiknya cincin ni. Simple but nice. Bagus betul taste tunang kau tu.” Aku sekadar angkat bahu tetapi serius cantik cincin tunang aku.
“Macam tak percaya kau dah bertunang. Tapi yang menggandakan ketidakpercayaan aku tu bila kau sendiri tak kenal tunang kau. Zaman orang sanggup buang keluarga sebab nak kahwin dengan pilihan sendiri kau reda je mak ayah kau pilih suami untuk kau. Kau tak menyesal ke, Lia?”
Aku berpaling ke kiri. Mencari wajah teman yang cukup aku sayangi itu. Aku betulkan duduk mengadap Nadia yang nampaknya tidak sabar menantikan jawapan kepada soalan ‘kau tak menyesalke’ yang baru dilontarkan.
“Ada tiga perkara utama yang buatkan aku terima pinangan ni. Satu, ayah aku tak akan terima lelaki sebarangan untuk jadi menantu dia. Dia mungkin tidak berkira sangat dengan angka pada slip gaji tunang aku tu tapi dia cukup tegas dengan angka lima dalam Rukun Islam dan enam dalam Rukun Iman, cukup angka lima waktu sehari semalam, genap 30 hari bulan Ramadan, percent untuk zakat. Bila dia setuju, maknanya tunang aku tu mencukupi syarat angka yang amat ayah aku pentingkan. Nak-nak imam kampung aku yang rekmen tunang aku tu.
“Kedua, mak aku tak akan setuju jika yang meminang aku tu suami orang dan sekadar kerja jaga parking haram. Jadi, dah sah-sah tunang aku tu bujang trang tang tang dan ada kerja yang menjamin masa depan.
“Yang ketiga paling best…”
Aku terdiam. Konon nak bagi suspens. Seronok pula tengok wajah excited gila si Nadia ni.
“Adoiii! Kau ni kenapa? Tak pepasal nak cubit aku?” Aku mengadoi panjang bila jari Nadia dah bertukar menjadi sepit ketam. Pedihnya!
“Lagi lama kau buat siaran tergendala, lagi teruk aku cubit kau.” Katanya dengan wajah masam mencuka. Masam yang sedikit pun tidak mencacatkan kecantikannya.

“Ketiga, bila si Nabila, sepupu aku baru 16 tahun tu kata tunang aku tu handsome. Walaupun kehenseman tunang aku tu tak menepati piawaian hensem pada matanya yakni lelaki yang ada rupa pelakon Korea yang aku tak kenal walau seorang, tapi bila dia kata tunang kak Lia Melayu tapi Melayu yang hensem aku kena percaya sebab taste budak tu jarang tersilap.”
Aku memberi penerangan panjang lebar mengapa aku terima lelaki pilihan mak dan ayah untuk menjadi pembimbing aku dunia akhir. Apatah lagi istikharah aku memberi petanda dia yang terbaik untuk aku.


“Walaupun hensem tunang kau tu tak menepati piawaian hensem pada mata kau. Lelaki yang ada iras-iras Shah Rukh Khan, Arjun Rampal?” Jelas sangat nada jengkel pada suara Nadia tu.
Dia cukup anti dengan lelaki dari rantau itu. Sejak dua menjak anak jirannya kahwin lari dengan mat Bangla. Mati-mati aku beri perbezaan antara Shah Rukh Khan dan mat Bangla tapi dia tetap dengan pendirian dia. Pada Nadia, lelaki dari rantau itu tetap tengik. Dua hari aku tak cakap dengan Nadia bila dia cakap macam tu. Shah Rukh Khan dan Arjun Rampal tu tak tengik tau.

“Yap.” Aku pantas mengaku. Nak buat macam mana dah ke situ minat aku. Bukan arah ke timur seperti Nabila.
Suasana sepi seketika. Diulangi cuma seketika kerana Nadia cukup tidak gemar membiarkan sepi itu berlarutan.
“Tapikan Lia…” Kan aku dah cakap. Sekejap je sepinya.
“Bila pula si Nabila tu tengok tunang kau?”
“Dua minggu sebelum hantar rombongan meminang dia datang lawat keluarga aku dengan mak ayah dia. Nabila beritahu siap jadi imam solat maghrib dan Isyak lagi. Itu yang buatkan pakcik Malek dan makcik Zaiton tu tak sabar nak bermenantukan si Shafi’e tu.”
Aku terkejut bila tiba-tiba Nadia bantai gelak besar. Besar yang sesungguh besar. Sampai berguling atas karpet. Geram pulak aku tengok. Kalau tak dikenang taraf kawan aku tu jauh lebih tinggi daripada George W Bush dan Ariel Sharon, mau aku bagi penendang budak ni.
“Kau kenapa Nad? Kena sampuk hantu Kak Limahke?”
“Apa punya retro nama tunang kau. Shafi’e.” La. Ituke bahannya yang dia ketawa tak ingat dunia tu?

“Kau jangan nak gelakkan nama tunang aku, ok. Tu nama imam mazhab kita.” Aku mengeraskan suara. Pura-pura marah walaupun aku sendiri tersedak menahan ketawa bila mak beritahu nama dia.
Ada lagi manusia nama macam tu di zaman orang Malaysia lebih berminat meMelayukan nama Inggeris untuk diberi pada anak masing-masing.

“Wah! Very protective of him. Sorrylah. Cuma aku tak sangka ada lagi orang nama macam tu di zaman ini.”
Eh! Eh! Sama pulak pemikiran kami. Tapi itu yang membuatkan aku boleh rapat dengan Nadia padahal kami baru saja kenal. Baru tiga tahun ketika sama-sama menghadiri temuduga di Bentara Corp. Nadia hadir untuk temuduga jawatan setiausaha dan aku pula mencuba nasib mengisi kekosongan jawatan akauntan syarikat.
Atas sebab itu juga aku tidak ragu-ragu mempelawa Nadia berpindah ke rumah yang aku sewa dengan Syikin bila dia merungut teman serumahnya sudah berani bawa lelaki pulang ke rumah. Nadia menyambut dengan tangan terbuka. Bila Syikin keluar selepas berkahwin tahun lalu, kekal kami berdua.

Cuma yang peliknya mengenai kami ialah sama-sama penuntut UiTM malah graduate tahun yang sama tetapi tak pernah terserempak dalam kampus. Mungkin pernah terserempak tapi tak ingat.
Bagi pihak aku ayat ‘mungkin pernah terserempak tapi tak ingat’ bukan sesuatu yang menghairankan kerana bebudak course aku pun ada yang aku tak ingat. Inikan pula lain kursus. Kata Nadia masalah amnesia aku sudah tidak dapat diubati lagi.


Nadia pun dah bertunang tapi tunang dia nun jauh di Qatar. Orang minyakla katakan. Hujung tahun ini katanya majlis kahwin mereka akan dilangsungkan selepas si Hakimi tu pulang ke tanah air.
“Berapa lama kau bertunang ni?” Aku jawab soalan Nadia juga angkat enam jari. Dalam masa enam bulan title aku bertukar kepada Puan Puteri Camelia.


“Mak, ayah aku kirim salam. Mereka tanya juga mengapa kau tak datang. Aku beritahu kau kena ikut bos kau ke Singapura. Aku nak mandi dulu. Mak aku kirim lauk. Ada kat dapur. Kau panaskan nanti kita makan sama-sama.” Selesai berkata aku terus menapak ke bilik. Meninggalkan Nadia yang mencebik tak puas hati kena sediakan makan malam.
Dasar anak dara pemalas.

**********************************************************************

“Mengapa kau boleh tak minat dengan bos aku?” Nadia tiba-tiba melontarkan pertanyaan yang terkeluar daripada tajuk perbincangan kami.
Rasa-rasanya kami sedang berbual, atau lebih tepat membincangkan cara terbaik membayar saman tertunggak, sebelum lesen atau cukai jalan kami kena ‘ban’. Bukan satu dua pulak tu.
Aku bagi isyarat mahu makan dulu kerana nasi ayam yang baru sampai di meja kami kelihatan cukup menyelerakan bagi seorang aku yang cuma sempat sarapan biskut kering dua keping dengan segelas sunquick.

“Cuba bagi satu sebab, satu je sebab mengapa aku mesti minat si Spongebob tu?” Aku tanya dia balik selepas selesai makan. Cepat gila aku habiskan nasi ayam tu. Kalau tahu dekat mak aku makan macam orang kebuluran, mau kena carut.
Nadia terdiam tapi masih tekun menyuap nasi goreng belacan ke mulutnya.
Spongebob yang aku maksudkan tu nama sebenarnya Qamarulzaman, anak kepada Tan Sri Abdul Qadir, pemilik mutlak Bentara Corp. Mengapa aku panggil dia Spongebob? Sebab dia pakai kemeja lengan panjang kuning berjahang dan slack coklat muda ketika pertama kali aku jumpa dia masa menghadiri temuduga tiga tahun lalu. Itu yang kedua.
Sebab pertama ialah dia marah aku cukup-cukup sebab terlanggar dia sampai bertabur fail yang dipegang. Aku tergesa-gesa masa tu kerana dah lambat untuk temuduga itu. Walaupun aku dah minta maaf dan tolong dia kutip fail, dia terus marahkan aku. Ketika angkat kepala nak serahkan fail, perkara pertama yang terlintas ke kepala sebaik lihat dia ialah spongebob. Dia pun masa tu macam terkejut tengok aku. Hairan kut sebab aku sempat tergelak masa dia membebel tak cukup lidah.
“Sebab dia handsome dan ramai perempuan lain minat dia. Dah dua sebab tu.” Nadia kelihatan yakin dengan alasan bodoh yang dia bagi tu.
“Jawapan kepada soalan kau tu. Dia tak hensem pada pandangan aku dan aku bukan perempuan lain. Puas?”
“Pelikla kau ni. Bos aku yang ala-ala Fernando Torres tu kau boleh kata tak hensem. Mata kau ni ada masalah kornea kut?”
Nasib baik barli ais yang aku sedut sudah selamat memasuki perut. Kalau tidak ada yang jadi tok bomoh dalam cafe ni. Tersembur air sebab tersedak.

“Kau ni. Kut ye minatkan si Spongebob tu pada-padalah nak describe kehenseman dia tu. Fernando Torres apanya dia tu. Aku tengok macam pisau toreh adalah.”
Kali ni Nadia pulak hampir tersedak.

“Memang sah kau kena cari penderma kornea, Lia. Dah kronik masalah mata kau. Macam tu punya rupa kau boleh tak tergugat. Aku tak tau apa kau pandang pada encik Razlan tu. Kalau letak si Arjun ‘Razlan’ Rampal kau tu kat sebelah bos aku, kalah teruk pakcik tu.”
Nadia mula nak buka hikayat. Sejak dua menjak dia tahu aku suka tengok si Razlan, pengurus pemasaran Bentara Corp, apa saja cerita mesti dia nak kaitkan dengan pakcik tu.
“Elok atau tidak rupa paras seseorang tu subjektif. Hensem pada mata kau tak semestinya hensem pada pandangan mata aku. Macam tu jugak bos kau dengan Razlan. Lagi satu mengapa kau mesti nak kaitkan nama Razlan? Aku cuma suka tengok dia. Bukan suka dia. Besar beza tu.”
“Iyalah suka tengok saja konon. Habis yang dua, tiga hari muka kau macam tapai tak jadi bila tahu dia nak bertunang tu apa kes?”
Aku agak terkedu dengan kenyataan Nadia tu. Biar betul muka aku macam tapai tak jadi masa heboh kat ofis dia nak bertunang. Siapa lagi tukang hebohnya kalau bukan si Spongebob tu. Siap buat gaya macam nak umum tarikh puasa dan raya.
Tak sangka sampai macam tu sekali kesan kewujudan Razlan dalam hidup aku. Aku yakin sangat sekadar suka tengok dia sebab dia tu suka senyum, tak tahu nak marah staf, nak mengamuk tak tentu pasal. Tak macam kawan baik dia tu. Aku rasa boleh runtuh bangunan Bentara Corp ni kalau dia tiba-tiba tersenyum.
“Betulke muka aku macam tu, Nad?” Nadia tak menjawab secara lisan tetapi sekadar mengangguk dengan gaya yang amat menyakitkan hati. Mencebik-cebik tak tentu arah. Tahulah dia tu cantik mencebik macam mana sekalipun.
“Tapi setakat dua, tiga hari tu sajalah. Lepas tu aku tengok kau ok je. Macam tak ada apa pun.” Aku menarik nafas lega.

Memang betul tafsiran aku mengenai perasaan sendiri. Aku cuma suka tengok dia. Bukan suka dia. Lagipun status aku sebagai tunang orang tak membolehkan aku sukakan orang lain. Orang lelaki lain.
“Jomlah kita. Dah 1.30 ni. Nak solat lagi. Terlambat karang mengaum pulak Fernando ‘Qamarulzaman’ Torres kau tu.”

Nadia kelam kabut bangun apabila melihat aku sudah laju menapak ke arah surau.
**********************************************************************
Aku sedang asyik meneliti setiap inci wajah dua lelaki kesukaaan aku, Shah Rukh Khan dan Arjun Rampal dalam filem ‘Om Shanti Om’ yang entah kali ke berapa aku tonton apabila telefon bimbit yang berada di atas meja kecil sebelah sofa itu mendendangkan lagu Insya-Allah.
Nadia sudah selamat belayar. Makcik tu kalau datang bulan memang tak keluar bilik.
Aku mengerutkan dahi melihat nombor tidak dikenali terpampang di skrin. Dengan lafaz Bismillah, aku menyentuh skrin Sony XPeria itu untuk menjawab panggilan. Minta-mintalah bukan jantan psyco yang suka dok cakap yang bukan-bukan.
“Assalamualaikum.” Aku memberi salam. Bukan hanya sebagai orang Islam, itu yang afdal didulukan sebagai pembuka bicara tetapi juga sebagai isyarat kepada si pemanggil – kalau nak merapu, aku bukan orangnya.
“Waalaikumussalam.” Suara garau ala-ala Sohaimi Mior Hassan ‘Jangan pegang-pegang’ yang menjawab salam membuatkan aku menjarakkan sedikit telefon daripada telinga.
“Puteri Camelia?” Siapa pulak si pemilik suara garau ni? Tahu nama aku pulak tu.
“Saya. Siapa ni?”

“Saya Shafi’e. Maaf kalau mengganggu.” Terus hilang wajah SRK dan Arjun Rampal. Serta merta suara Nabila dengan kata-kata: “Tunang kak Lia Melayu tapi Melayu yang hensem”, terngiang di telinga.
Masalahnya selain ayah, abang dan adik lelaki aku yang seramai tiga orang tu juga si Arjun Rampal versi Melayu, siapa lagi lelaki Melayu yang kacak?


Fahrin Ahmad? Remy Ishak? Farid Kamil? Iqram Dinzly? Si kembar pemain bola sepak yang kahwin dengan artis tu? Macam tak je. Tak menurut piawaian akulah.
“Camelia? Ada lagi kat situ?” Aku kembali tersedar.

“Ya, saya.” Kelam kabut aku menjawab sambil membetulkan kain yang sudah terselak menampakkan betis. Macamlah si empunya nama retro tu nampak.
“Sorrylah sebab baru call lepas sebulan kita bertunang. Bukan tak nak call tapi tak tahu nak cakap apa. Tak berani sebenarnya. Ni pun jenuh susun ayat.” Memang sah baru susun ayat. Laju je perginya. Entah-entah ada skrip depan dia.
Lepas tu sama-sama diam. Untung Celcom malam ni. Ada pelanggan yang guna khidmatnya sekadar nak dengar nafas masing-masing.
“Saya cuma nak tanya awak tak kisah ke dengan pertunangan ni? I mean awak tak kenal saya. Tak pernah jumpa, bercinta jauh sekali tiba-tiba nak hidup sekali. Awak ok ke dengan semua ni?” Dia tiba-tiba bersuara. Terkejut aku.
Itu rupanya yang membuatkan encik Shafi’e ni jenuh menyusun ayat baru berani nak call tunang dia ni.
“Saya terima pinangan awak selepas tujuh malam berturut-turut saya buat istikharah. Memang saya tak kenal awak tapi mak dan ayah saya kenal awak. Bagi saya, itu dah cukup. Bukan nak menidakkan keupayaan mata saya menilai tetapi dalam hal ni saya lebih percayakan pandangan dan penilaian mak dan ayah.”

Agak sopan aku menjawab kemusykilan tunang aku tu. Wah! Sejak bila Camelia bertukar rupa menjadi ala-ala Wanita Melayu Terakhir ni. Agaknya sebab nama dia Shafi’e kut.
“Bagi awak pulak macam mana? Saya ni pilihan keluarga awak.”

“Pilihan keluarga maknanya pilihan saya jugak.” Aku tak nafikan lega dengar pengakuan tu. Iyalah. Buatnya dia terpaksa terima aku tak pasal-pasal aku kena tandatangan segala macam kontrak macam novel-novel Melayu dengan tema kahwin paksa tu.

“Awak tak ingin nak kenal saya in person ke?” Itu soalan menduga akal tu. Maunya aku tak nak kenal dia. Tapi memandangkan lebih banyak buruk daripada baik jumpa tunang jauh daripada pengawasan mak dan ayah, keinginan tu aku tahan dulu. Lagipun, aku pegang kata-kata Nabila. Takkan kalau macam muka samseng filem Tamil, dia nak kata hensem kut.
“Jangan salah sangka. Bukan saya tak mahu tapi saya bimbang dengan sekali jumpa, kita nak jumpa untuk kali kedua, ketiga. Lagipun berjumpa jauh daripada mata mak, ayah ni banyak buruk dari baiknya.”

Memang skema je jawapan aku. Bukan aku tak pernah keluar makan dengan rakan sepejabat yang berlainan jantina tetapi bukan berdua. Bertiga, berempat malah kadang-kadang siap kena cantumkan meja kat kafe.
“Oklah kalau awak cakap macam tu. Cuma jangan menyesal kalau hari nikah nanti tengok-tengok saya ni ada iras Kapten Barbossa Pirates of the Carribean tu.” Aku tergelak kecil. Pandai jugak pakcik ni buat lawak.

“Kalau itulah rupa awak, cincin ni tak akan ada kat jari saya. Kena reject awal lagi.” Dia pula tergelak.
Dan kami terus berbual dan saling bertukar maklumat mengenai diri masing-masing. Dia berusia 30 tahun, empat tahun lebih tua daripada aku, anak kedua daripada lima adik beradik. Sama dengan bilangan adik beradik aku dan juga sama-sama anak kedua. Sama-sama tunggal. Dia anak lelaki tunggal, aku anak perempuan tunggal. Cuma kerjanya aku tak pasti. Dia sekadar cakap kerja biasa-biasa saja.


Lantaklah janji halalal toiyiban dan cukup nak bagi aku dan anak-anak makan, pakai, rumah.
Sebaik mematikan panggilan, aku kerling jam. Dah pukul 11.30 malam. Aku masuk ke bilik dengan hati yang agak erm…erm…berbunga-bunga dapat berbual dengan tunang.

**********************************************************************

Memo di atas meja aku pandang hendak tak hendak. Arahan Tan Sri Qadir supaya ikut anak dia a.k.a Spongebob tu berjumpa dengan wakil Teguh Holdings jam 11 nanti. Nasib aku hari ini menepati perumpamaan sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah.
Sebelum ini, senang saja aku mengelat tak nak ikut dia tapi hari ini aku terperangkap. Pegawai lain semua ada appointment masing-masing. Dan dalam banyak-banyak hari, hari ini jugaklah Akauntan Kanan, Puan Hayati kena cirit birit.
Dengan langkah sebal aku menuju ke lif untuk ke tingkat lima yang menempatkan pejabat spongebob tu. Aku kena jumpa dia untuk dapatkan detail apa yang hendak dibincangkan dengan wakil Teguh Holdings. Si Qamarulzaman tu bukan suka nak beri penerangan panjang lebar dalam telefon.
Aku terus menuju ke meja Nadia untuk bertanyakan sama ada bos dia ada atau tidak. Si Qamarulzaman tu memegang jawatan CEO Bentara Corp, bawah sikit daripada kedudukan bapanya. Tapi tak lama lagi jawatan Tan Sri tu akan jadi milik dia.

Kedudukan dia membolehkan dia ada setiausaha sendiri iaitu Nadia, kawan aku tu.
“Nad, si Fernando ‘Qamarulzaman’ Torres tu ada?”
“Aku baru nak call kau. Dia nak jumpa pasal meeting dengan Teguh Holdings tu. Masuklah. Tapi bacalah apa-apa yang patut. Aku tengok mendung je bilik tu dari tadi. Silap-silap ada puting beliung melanda.”
Ceh! Dia ni. Sempat lagi nak menakut-nakutkan aku. Dia tergelak bila aku angkat fail yang aku bawak berpura-pura nak ketuk kepala dia. Geram punya pasal aku tarik hujung tudung dia. Biar senget benget.
Lambat-lambat aku ketuk pintu bilik Encik Qamarulzaman.

“Masuk.” Terdengar suara memberi arahan dari dalam. Perlahan-lahan aku melangkah.
Tak tahulah mengapa aku cukup tak suka nak berdepan dengan singa berwajah Fernando Torres ni. Mungkin sebab dia suka cari pasal dengan aku. Kisah aku suka makan biskut kering cicah air oren sunquick pun jadi bahan dia nak kutuk aku. Lantaklah aku nak makan nasi impit dengan tomyam pun. Bukan kacau dia. Kalau nak sakit pun, perut aku. Bukan perut dia. Tak logik langsung dia nak marah.
Kalau dia sungguh. Ada saja benda yang buatkan aku selalu nak dapat cardiac arrest sebab tahan marah.

“Camel. Saya baru suruh Nadia panggil, awak dah sampai. Duduklah.”

Ini antaranya. Suka hati mak bapak dia nak panggil aku Camel. Memanglah sekali dengar, panggilan tu ada iras-iras nama orang putih. Tapi cuba diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Jadi apa?
Aku diam tidak bergerak tanda protes. Satu-satu perkara yang aku bangga dengan diri aku ialah aku berani membantah dia secara terang dan jelas. Satu perkara yang tidak ramai staf Bentara Corp ni berani buat kecuali Tan Sri dan Razlan. Terbaru menyertai dua manusia yang berani menentang dia secara terang-terang tu namanya aku.

“Mengapa tercegat lagi kat situ? Kan saya suruh duduk.” Dia mengangkat muka daripada fail yang dibelek sejak aku masuk tadi bila menyedari aku masih tak bergerak.
“Encik Qamarul suruh camel duduk. Tak dengar pula encik suruh Camelia duduk.” Aku menjawab tegas. Seinci aku tak bergerak.
Mendengar jawapan aku, dia terus bersandar sambil bermain-main pen. Matanya tajam merenung aku. Aku balas renungan dia. Tajam. Kalau dia ingat aku takut atau tiba-tiba hati aku berdegup kencang, dada berdebar, satu perasaan kudus menyelinap masuk dalam hati macam yang selalu tertulis dalam novel bila hero bertemu heroin lalu si gadis melarikan pandangan, dia silap besar. Aku siap jegilkan mata lagi ada.
“Awak ni langsung tak takutkan saya macam orang lain. Ada saja benda yang awak nak menjawab.” Katanya lalu ketawa kecil.
“Takut saya pada Allah. Hormat saya pada manusia. Manusia yang juga tahu hormatkan saya.”

Dia mengangkat tangan tanda mengaku silap. Nak dengar dia minta maaf? Sorry. Kalau si Muamar Gaddafi tu offer nak letak jawatan Presiden Libya kalau dia minta maaf pun aku rasa dia tak akan buat.
Dasar lelaki ego. Eleh! Megah sangat dengan ego melangit tu. Tinggi mana pun ego seorang lelaki, syurga dia tetap di bawah tapak kaki seorang perempuan.

“Sila duduk Puteri Camelia Megat Abdul Malek.” Siap sebut nama penuh aku tu.

“Terima kasih Encik Qamarulzaman Tan Sri Abdul Qadir.” Aku balas balik dengan sebut nama penuh dia jugak. Orang memberi kita membalas. Jadi, tak salah apa yang aku buat, kan?
Perbincangan yang sepatutnya cuma mengambil masa tak lebih 20 minit melalut sampai sejam kerana dia ni suka sangat buat iklan sana sini. Tanya mengapa aku ambil jurusan perakaunan padahal pada dia aku lebih layak jadi peguam, tanya adakah aku dinamakan sempena ratu dangdut Indonesia yang popular satu ketika dulu, Camelia Malek.

Yang membuatkan aku hampir bertukar menjadi Hulk versi perempuan ialah bila dia paksa aku tanya mengapa nama dia dieja dengan huruf Q bukan K seperti biasa. Bila aku tanya, tau apa dia jawab. Ini jawapannya (dibaca dengan nada marah seolah-olah yang menanya tak ada kerja lain): “Suka hati mak bapak sayalah nak eja macam mana pun. Awak susah hati mengapa? Tak ada kena mengena dengan awak.”
Lepas tu gelak sorang-sorang macam orang gila. Kesian Tan Sri dengan Puan Sri. Ada anak pun sewel.
**********************************************************************
Sony X Peria yang berdering buat kali ke lima dalam masa dua minit aku tengok dengan menyumpah seranah orang di sebelah sana yang tak faham-faham makna mengapa panggilan tidak diangkat dan tidak pernah mendapat panggilan balik.
Aku nak matikan telefon tu bimbang ada panggilan penting. Bila tak matikan, inilah bahananya. Nama pemanggil yang aku setkan sebagai ‘Bujang Senang’ tu aku pandang sepi.
Bukanlah aku tak nak menjawab tapi aku faham sangat dengan perangai aku ni. Kalau dah marah, mulut aku ni akan keluar perkataan yang kalau didengar mak aku, mesti kena cili.
Mak aku tu bukan dia heran dengan konsep merapu orang putih umur 21 dah bebas. Bagi dia, selagi bergelar anak dia, dia ada hak nak tentukan yang baik dan buruk. Sebab tu paha aku ni ada saja bekas cubitan cinta setiap kali balik kampung. Tidur balik lepas subuh kena cubit, suara kuat sikit kena cubit.
Abang aku yang dah anak tiga pun masih kena cubit.

Dalam aku melayan perasaan tu, tiba-tiba deringan terhenti. Aku mengangkat kepala untuk melihat siapa gerangan yang sudi menjadi operator tak bergaji menjawab panggilan itu.
Cis! Dia rupanya. Apa dia buat kat sini? Bila pula dia ada kat deparment aku ni? Dengan mengangkat kening seolah bertanya mengapa aku biar panggilan tu, Encik Qamarulzaman menekap telefon aku di telinganya selepas menyentuh skrin menjawab panggilan.

Ada juga gunanya si Spongebob ni pada saat-saat kecemasan ini.
“Of course saya bukan Camelia tapi orang yang dekat sangat dengan dia.” Mesti dia menjawab pertanyaan ’siapa ni’ dari si Bujang Senang tu.
“Siapa saya? Perluke saya jawab soalan tu?” Dari berdiri, Encik Qamarulzaman sudah bertenggek kat meja aku. Aku sekadar pasang telinga.
“Saya tunang dia. Awak tu siapa pulak?” Mata aku terbeliak sedikit mendengar pengakuan mengarut Encik Qamarulzaman tu. Kut ye pun nak membantu aku, biarlah kena tempatnya.
“Bila kami bertunang tu rasanya tak termasuk dalam senarai urusan awak. Kita cakap man to man. Camelia tunang saya dan rasanya awak pun tak suka kalau lelaki lain kacau tunang awak. Dan rasanya you should get the message bila panggilan awak tak berbalas.” Terus dia matikan telefon.
“Siapa Bujang Senang ni? Dah tak cukup mangsa kat Sarawak ke sampai ke Semenanjung datangnya?” Nada suaranya aku tahu dia mahukan jawapan.
“Kawan sekursus saya masa kat UiTM. Bujang Senang versi manusia. Lepas graduate dulu saya langsung lost contact dengan dia. Baru-baru ni jumpa balik. Saya bagi je nombor telefon sebab ingat kawan. Lain pulak jadinya.”
“Dah layan lebih-lebih. Kalau tak takkan dia terhegeh-hegeh.” Dia ni pekak ke apa? Tak dengar aku cakap si Azam tu cuma kawan saja.
“Mana ada saya layan dia lebih-lebih. Tak layan lagi ada.” Jawab Camelia jangan tak jawab.
“Apa pun masalah awak dengan dia, jangan bawa ke pejabat. Small matter macam ni pun tak boleh nak settle. Tak pasal-pasal saya kena mengaku tunang awak pulak.” Apa agaknya spongebob ni dapat menyakitkan hati aku.
“Siapa yang suruh encik Qamarulzaman mengaku? Saya tak suruh pun.”
“Awak ni kan. Saya tolong bukan nak berterima kasih. Macam-macam pulak dia.” Terus dia berpeluk tubuh depan aku.
“Nak tolong biar ikhlas. Jangan nak mengungkit. Kalau macam nilah cara encik Qamarulzaman nak tolong, lain kali tak payah.” Mata dia sedikit terbeliak dengar statement maut aku tu. Dah naik pangkat jadi Encik Crab aku tengok.
“Mamat tadi tu suka gila kat awak. Siap bagi warning kat saya. Jangan berharap sangat sebab orang kahwin pun boleh bercerai-berai. Awak tak suka dia langsung?” Tak tau nak cakap apa lah tu terus tukar tajuk.

“Dulu suka sebagai kawan yang baik. Lepas dia buat perangai gila isim ni langsung menyampah. Lagipun saya dah bertunang.” Aku berterus-terang.
Bila sesi soal siasat ni nak habis.

“Baru bertunang. Macam si Bujang Senang tu cakaplah. Dah kahwin pun boleh bercerai-berai, inikan pula baru tunang.” Dia ni memanglah.
“Jangan doakan saya macam tu. Saya sayangkan tunang saya. Dah lama kami kenal. Mudah-mudahan kekal dunia akhirat.” Aku menjawab dengan wujudnya unsur-unsur penipuan di situ. Aku tak mahulah cakap aku tak kenal tunang aku in person. Mahu kena gelak dengan Spongebob ni. Dia ni bukan boleh kira. Silap-silap boleh sampai ke Zimbabwe nun berita aku bertunang dengan lelaki yang aku tak pernah kenal dan jumpa.
“Saya tak kata macam tu. Saya doakan awak berdua kekal dan aman bahagia sebagai suami isteri dunia akhirat.” Dia balas balik sambil memberikan senyuman yang nampak cukup ikhlas. Cis! Kagum aku sekejap dengan senyuman tu.
Lepas sembur aku, dia terus angkat kaki ke bilik Puan Hayati.
Telefon bimbit aku tiba-tiba berbunyi lagi tanda ada mesej masuk. Segera aku capai dan tengok nama di skrin. Bujang Senang!

‘Kat mulut naga pun I sanggup rampas U, inikan pula kat tangan manusia. I bukan lelaki yang mudah kalah Camelia.’ Perasan sungguh makhluk Tuhan yang seekor ni.
Nak rampas kat mulut naga konon. Terjumpa tapak pak belang masa ekspedisi ke Gunung Tahan dulu pun melompat tak cukup tanah. Ada hati nak bertarung dengan naga.

**********************************************************************

Aku terkial-kial menepis cubitan Nadia yang bertubi-tubi saat aku menceritakan Si Bujang Senang atau nama sebenarnya Azam Mukhriz Datuk Mahmud yang cuba mengayat aku kepadanya.
Aku tak tahu pulak mak aku sempat menurunkan ilmu cubit-cubitan ini kepadanya walaupun baru tiga, empat kali berjumpa.


“Aku dah cakap jangan layan si Azam tu. Siapa tak kenal dia masa kat UiTM dulu. Nak contact balik kawan lama konon. Cara dia pandang kau masa kita terserempak dengan dia kat Mid Valley tu pun aku dah tahu.” Nadia memulakan sesi berleter yang kalau dibiarkan boleh berlarutan sehingga malam lusa.
Betul-betul mewarisi perangai mak aku. Aku ke si Nadia ni anak mak aku?

“Mana aku tahu dia nak jadi meroyan sampai macam ni. Kalau aku tahu tak adalah aku nak bagi nombor telefon kat dia. Lagipun dia tu kan playboy. Mana aku sangka ada playboy dalam dunia ni yang sanggup nak jatuhkan imej sendiri dengan jatuh cinta kat perempuan macam aku ni.” Aku mempertahankan diri.
Bukanke imej playboy tu sinonim dengan perempuan berwajah Miss Universe, seksi, putih gebu, pakai baju ala-ala orang zaman Batu, tinggi lampai, high maintenance dan paling penting, gatal. Itu sifat yang must have, sebab kalau tak gatal, tak adanya dia orang tu nak menempek kat lelaki bukan muhrim.
“Aku ni apalah yang ada Nad. Dahla tak cantik, seksi jauh sekali, bertudung, tak pandai bergaya. Pendek kata tak ada ciri-ciri yang membolehkan playboy jatuh cinta.”
“Kau ni merendah diri sampai macam tu sekali. Mempertikai kejadian Allah. Tak baik tau.” Cepat saja makcik ni membangkang bila aku buka bab rupa paras aku yang tak semenggah mana ni.
“Ini bukan merendah diri. Ini namanya sedar diri.”

“Sebab kau cantiklah maka si Azam tu tak cukup tanah kejar kau. Kat pejabat kita tu, bukan seorang dua staf lelaki yang cuba nak masuk jarum. Haram kau nak layan.” Menceceh dah si Nadia ni.
Aku baru nak menjawab bila ada panggilan masuk. Dia lagi! Tak sempat aku kata apa-apa, Nadia lebih dulu menyambar telefon aku.

“Ni bukan Camelia. Ni siapa? Ini mak tiri Camelia.” Aku tergelak mendengar jawapan Nadia.
“Sudahlah Azam. Tak payah kau nak kacau dia lagi. Dia tak ada perasaan kat kau. Hormatlah sikit perasaan orang. Lagipun dia dah bertunang.” Habis saja dia sembur Azam, Nadia terus mematikan panggilan.
Belum pun sempat dia letakkan telefon ia berbunyi lagi. Sekali lagi Nadia bersedia untuk menyembur ayat sarkastik seterusnya.
“Bahagian mana kenyataan aku yang kau tak faham, Azam? Kau…” Nadia terdiam. Mukanya berubah dan lidahnya sedikit terjelir.
“Bukan. Saya kawan serumah Camelia. Nah cakap dengan dia.” Nadia terus menghulurkan telefon kepada aku. Aku menyambut dengan dahi berkerut.
“Tunang kau.” Katanya perlahan sambil menggerakkan bibir menyebut perkataan ’sorry.’
“Assalamualaikum.” Aku menyapa Shafi’e sebaik telefon berada di telinga. Melihat telinga Nadia dah jadi piring Astro, aku bangun dan menapak ke bilik. Sempat jugak aku menjelir kepadanya.
“Waalaikumussalam. Apahal tadi tu? Marah benar kawan awak tu.”
“Sebelum awak call tadi, ada makhluk tak faham bahasa called nak cakap dengan saya. Selalu sangat kacau saya. Itu yang kena sembur dengan Nadia.” Dia terdiam. Aku sudah terlentang di atas katil.
“Boyfriend awak ke?” Nada suara dia dah lain. Macam jauh hati. Aku terus terbangun.
“Bukan, No. A big NO. Kawan masa kat UiTM dulu. Saya tak pernah ada hubungan selain daripada kawan dengan dia. Itupun bukan kawan rapat.” Aku menerangkan keadaan sebenar. Ala, janganla merajuk encik Shafi’e. Tunang awak ni bukan reti nak pujuk orang. Kalau tidak, si Nabila tak katalah buang masa merajuk dengan kak Lia.

Diam. Untung lagi Celcom malam ni. Adui! Sejak bertunang ni, aku dengan encik Shafi’e asyik bagi untung free je kat syarikat telekomunikasi tu. Itu baru kami berdua. Belum lagi orang lain.
“Betul awak tak ada boyfriend?” Suara itu masih tak berubah nada. Nak tergelak pula bayangkan si pemilik suara macho ni merajuk.


“Betul. Tak pernah ada boyfriend. Itu sebabnya saya cukup tak pandai nak memujuk orang lelaki yang merajuk.” Kedengaran gelak orang di sebelah sana talian. Aduhai, suaranya. Menusuk jiwa.
Macam pernah ku dengar bunyi ketawa tu tapi di mana ya?

“Jangan berpaling dari saya, Camelia.” Aku yang sudah terbaring semula terus keras kejung mendengar kenyataan itu keluar daripada mulut Shafi’e. Hati yang berdegup normal mula berkira-kira melakukan maraton.
Tak pernah sekalipun sepanjang berbual melalui telefon dalam dua bulan ini, kami mengadakan sesi luahan hati. Bukan tiada lelaki yang meluahkan rasa hati kepada aku dan salah seekornya si Azam tu. Tapi langsung tak meninggalkan kesan. Tapi bila keluar daripada mulut Shafi’e walaupun jenis straight to the point…tak tahu nak gambarkan macam masa perasaan aku ketika ini.
“Memang benar kita tak pernah duduk berjumpa secara bersemuka, secara peribadi. Tapi perasaan pada awak semakin kuat mengikat saya. Mungkin ini berkat dan hikmahnya saya menggembirakan hati mak saya yang nak sangat bermenantukan awak.
“Perasaan saya pada awak tak pernah saya rasa pada perempuan lain sebelum ini. Saya takut sangat kehilangan awak sampai ke tahap saya bangun solat hajat minta jodoh kita kuat. Saya tak tahu apa sebenarnya perasaan ini. Kalau inilah yang dinamakan cinta, sungguh saya cintakan awak, Camelia. Saya bimbang sangat awak tak boleh terima bila dah kenal saya. Takut saya tak menepati citarasa awak.”
Aku tersipu-sipu mendengar pengakuan itu. Okey, mungkin aku sedikit bias sebab dia tunang aku tapi sumpah aku dapat rasakan keikhlasan dia ucapkan kata cinta pada aku.
Dari terlentang kaku, aku dah tergolek-golek atas katil. Sekali pandang macam Sabariah Mansor dok khayalkan Kassim Selamat la pulak. Boleh tahan jugak tahap kegatalan aku rupanya.
“Insya-Allah saya tak akan berpaling. Saya terima siapa saja awak. Cinta yang saya simpan selama ini hanya untuk lelaki bergelar suami dan saya juga tak lupa berdoa mudah-mudahan awak yang terbaik dipilih Allah untuk jadi pembimbing saya.”

Setakat itu sajalah sesi mencurahkan perasaan tapi kami terus berbual pelbagai topik sampailah handset aku tut..tut…berbunyi tanda bateri dah nak kong.
Habis berbual terus aku cajkan bateri. Aku masih tersenyum-senyum teringatkan pengakuan encik Shafi’e tu tadi. Benarlah aku sudah jatuh cinta kepada si dia, empunya suara yang tidak pernah kukenal rupanya.


Langkah ku atur kembali ke ruang tamu. Nadia sampai ternganga-nganga melihat ketangkasan Steve McGarret, hero Hawaii Five-O itu menumpaskan musuh. Taksub benar dia dengan mamat tu.
“Amboi berseri-seri muka. Apa yang kau bualkan dengan Pak Pie kau tu?” Dia terus menembak sebaik aku duduk di sebelahnya. Aku tarik muka dengar gelaran Pak Pie yang diberikan kepada tunang aku.

“Dia muda lagilah. Baru 30. Dan nama dia Shafi’e. Sebut dengan idgham dan tajwid yang betul, please.” Terkekeh-kekeh dia gelakkan aku. Geram punya pasal aku cubit dia tapi langsung tak ada kesan pada Nadia. Hemm…aku kena menuntut ilmu mencubit daripada mak aku.
“Sorrylah. Aku nak usik je. Cakaplah apa yang kau bualkan? Takkan dengan aku pun nak rahsia kut?” Si busy body ni merengek lagi.
“Benda-benda biasa je. Tapi aku suka idea dia pasal mengapa Hosni Mubarak sepatutnya dah lama berundur. Macam penganalisis politik antarabangsa pun ada. Reason dia bagi tu…”

Sekali lagi ayat aku dimatikan oleh si pontianak bernama Nadia ni. Mengilai-ngilai. Apa yang lawak pun entah. Agaknya saraf ketawa dia ada masalah sebab tu tanpa sebab pun dia boleh bantai gelak.
Aku tolak dia ke bawah bila dia tak menunjukkan tanda nak berhenti gelak. Over sungguh dia kali ni. Sampai meleleh airmata. Aku pukul dia bertalu-talu dengan kusyen kecil.

“Lawak betullah kau berdua ni. Tak pernah dibuat orang bersembang dengan tunang pasal hal-hal antarabangsa. Apa kes Hosni Mubarak boleh tersangkut dalam perbualan kau berdua ni?” Katanya termengah-mengah.
“Okey apa sembang isu antarabangsa. Selain tambah pengetahuan am, dosa pun kurang. Berdosa kau tau sembang bab cintan cintun, bab hati dan perasaan ni walaupun dengan tunang sendiri. Walaupun kau kat sini, dia hujung sana tapi kat tengah tu tetap ada makhluk bertanduk.
“Kalau sembang bab rindu dendam tu sampai boleh naikkan syahwat, tak ke tempah dosa namanya tu? Dari hubungan tu suci murni, dah tercemar dengan zina. Zina mulut, zina hati. Aku dan Shafi’e nak elak daripada semua tu. Dah terang-terang si Mubarak tu salah apa salahnya mengumpat dia. Tak salah mengumpat pemimpin yang zalim.” Panjang lebar aku bagi penerangan. Ingat berjumpa saja ke boleh tambah dosa? Nadia diam tapi masih tersengih-sengih.
“Nad, aku tak sabar nak kahwin.” Jujur pengakuan aku tetapi dibalas dengan cubitan di lengan. Spontan aku tepis sepit ketam Nadia.
“Gatal kau ye.” Dia jegilkan mata. Bajet aku takut kalau dia buat macam tu. Kalau terkeluar biji mata tu, kut ye.

“Itulah silapnya orang kita. Asal keluar dari mulut perempuan nak cepat kahwin, kita labelkan dia gatallah, mianglah, tak sabarlah, tak malulah Apa yang gatalnya nak dirikan masjid, nak hidupkan sunnah Rasulullah. Nak malu apanya kalau benda yang kita buat tu betul. Malu tak kena tempat namanya tu. Malu kalau nak keluar dengan lelaki bukan muhrim. Tak perlu malu kalau cakap nak kahwin.
“Yang patut dikata gatal, tak malu, tu, yang berkepit dengan lelaki bukan muhrim ke hulu ke hilir. Itu memang gatal, miang, jenis muka tembok. Disuruh kahwin banyak sangat alasan. Nak kukuhkan ekonomilah, nak kenal hati budi dululah. Kahwin dulu lepas tu nak kenal hati budi luar dalam pun dah tak salah. Kita kena tukar persepsi kita, Nad.


“Sepatutnya bila ada perempuan yang cakap dia tak sabar nak kahwin, kita kena beri galakan, ucap tahniah sebab dia nak buat pahala. Dia nak kejar ganjaran yang dijanjikan Allah kepada perempuan bergelar isteri. Kita kena respect sebab dia sedia nak pikul tanggungjawab yang bukan sedikit. Bukan label dia gatal. Tapi of course dia kena tahu dan faham makna perkahwinan itu dulu.”
Nadia mengangguk kepala mendengar klon Ustazah Bahyah ni memberi ceramah rumah tangga. Tapi betul apa aku cakap. Perlu malu ke nak kumpul pahala? Perlu malu ke nak cari jalan ke syurga dengan menjaga solat, menjaga puasa dan mentaati suami?

Kali ini lama dia terdiam. Mungkin memikirkan kebenaran kata-kata aku tadi.

“Nad, aku nak confess something.” Cepat Nadia berpaling memandang aku di sebelah kirinya. Siap betulkan kedudukan. Berdepan dengan aku.
“Aku dah jatuh cinta dengan tunang aku. Tanpa bayang, tanpa rupa, hati aku dah terisi dengan nama dia.” Nadia senyum tengok aku. Bukan senyum sinis atau senyum menyakat tapi senyum yang sampai ke hati aku.

Sambil memeluk aku, dia berkata: “Aku kena tabik kat Shafi’e sebab dah cairkan hati besi kawan aku ni. Aku sayang kau, Lia. Doa aku, jodoh kau dengan dia berpanjangan dunia akhirat.”
“Kau ikhlas sayangkan aku ke atau sebab aku yang kenalkan kau dengan Hakimi?” Soalan aku dibalas dengan…ya pandai. Cubitan.
Di sebelah sana, ada senyum yang mengiringi di saat dia mematikan panggilan. Yakin pilihannya memang tepat. Lega cintanya tidak bertepuk sebelah tangan.
“I love her, buddy. So much. Tak sabarnya nak kahwin dengan dia. So I can hold her tight in my arms.”
“Takkan lari gunung dikejar.” Jawab si rakan yang setia di sisi.
**********************************************************************
Nasi campur sepinggan penuh sudah selesai. Barli ais tinggal separuh. Bihun tomyam yang dipesan Nadia juga sudah tinggal mangkuk. Kami tersandar kekenyangan menunggu makanan turun ke dalam perut sebelum ke surau.
“Kau ada dengar gossip terbaru?” Nadia ni la. Suka sangat bagi aku ketupat sebagai desert. Menambah kenyang oklah jugak. Kenyang dosa adalah. Tapi biasalah. Sebagai manusia, perempuan pulak tu bab gossip jarang boleh tepis.
“Artis mana pulak nak bercerai? Atau kena tangkap basah?” Nadia tarik muka dengar ayat sarkastik aku.
“Ini gossip internal. Tak ada kena mengena dengan artis.” Aku kerut dahi. Apasal aku tak tahu apa-apa mengenai gossip terkini Bentara Corp. Aku menaikkan kening bertanya apa gossip yang dimaksudkan.
“Si Jack Sparrow versi perempuan tu tengah frust menonggeng sekarang ni sebab kekasih dia dah bertunang. Dok cerita sana sini perempuan tu jumpa bomoh nak guna-gunakan so called kekasih dia tu. Siap berazam nak rampas balik.” Herot berot mulut Nadia bercerita.
“Dia ada kekasih? Siapa?”
“Kau tak tahu?”
“Kalau tahu tak adalah aku tanya kau.” Sinis aku jawab pertanyaan Nadia.
“Ketinggalan zaman betul kau ni. Sia-sia Dr Sheikh Muszaphar tu ke ISS nun kalau kau masih dok terhegeh-hegeh dengan kereta lembu.” Tempelak si Nadia. Alah sebab gila dengar gossiplah rakyat Malaysia ni masih di takuk lama.
“Secara teknikal bukanlah kekasih dia sebab dia yang tergila-gilakan bos aku tu. Tak pernah aku tengok encik Qamarul tu melayan dia. Apa…”
“Encik Qamarul dah bertunang? Bila?” Aku pula potong percakapan dia kali ini. Memang betul kali ini aku ketinggalan kapsul Suyoz.
Opps! Aku belum perkenalkan watak terbaru ni kan. Jack Sparrow versi perempuan tu namanya Norzita Johan tapi perkenalkan diri sebagai Zeta Jones, pegawai komunikasi korporat Bentara Corp. Dia punya rupa, body dan style, Amber Chia pun boleh angkat bendera putih. Memang full of criteria yang dikejar playboy.

Gelaran Jack Sparrow tu Nadia yang bagi. Bila aku tanya, dia jawab: “Kau tak nampak cara dia berjalan. Terlentik sana terlentik sini. Tangan tu melambai ke sini ke mari. Tak ke macam Jack Sparrow?”
“Baru lagi bos aku tu bertunang. Mengikut info yang aku dapat daripada Arjun Rampal kau tu, dia dalam lama aim tunang dia tu. Tiga tahun jugak dok usyar that girl. Kata Razlan lagi, Puan Sri Qamariah yang terlebih seronoknya. Iyalah dapat bakal menantu stok ustazah. Dia risau kut-kut anak teruna dia tu dapat yang jenis tepi jalan.”

Aku tarik muka dengar Nadia kata ‘Arjun Rampal kau’. Dia Arjun Rampal orang lainlah, aku jerit dalam hati.
“Kalau encik Qamarul tak pernah melayan, apa kejadah si Zeta Jones tiruan tu nak mengaku bos kau tu kekasih dia?”
“Sebab dia tu termasuk dalam golongan hidung tak mancung, pipi tersorong-tersorong. Cuba kau tengok kalau ada encik Qamarul, terus dia bertukar watak jadi kucing siam miang. Nak bergesel ke kerjanya. Pernah kau nampak encik Qamarul layan. Jauhkan diri lagi ada. Tapi kalau encik Qamarul tak ada, tengok orang pun ndak tak ndak je.” Nadia meneruskan sesi mentekedarah daging saudara sendiri atau dalam bahasa lembutnya, mengumpat.
Satu perkara yang aku cukup respect dengan bos Nadia tu ialah dia tak termasuk dalam senarai playboy di atas muka bumi Malaysia ni walaupun mempunyai pakej mencukupi yang perlu dipenuhi oleh casanova to be. Kacak (bukan pada pandangan aku), bergaya dan kaya raya.

Tak pernah dapat panggilan daripada perempuan selain atas urusan kerja. Nak nampak ada perempuan datang cari dia kat Bentara Corp ni lagilah tidak. Walaupun aku tahu beratur perempuan yang berdamping dengan dia, encik Qamarul tak pernah layan. Yang kerap jadi peneman dia ke sana ke sini cuma Nadia atas tiket setiausaha dia. Luar waktu pejabat, Razlan yang diheretnya.
Aku pernah tanya dia pasal tu dan dia berikan jawapan yang aku ingat sungguh-sungguh walaupun sakit mata aku tengok dia tersengih-sengih sebab perasan termasuk dalam golongan lelaki idaman Malaya.

“Saya harapkan perempuan terbaik untuk jadi pendamping saya. Untuk itu, saya juga perlu menjadi yang terbaik. Saya tak mahu dapat perempuan yang diusung oleh lelaki lain ke sana ke mari. Untuk itu saya juga tidak boleh mengusung perempuan lain ke sana ke mari.”

Siapalah gerangan si ratu hati Spongebob tu? Harap-harap lepas kahwin hilanglah perangai tiga suku dia tu. Kalau dia Spongebob, agak-agak ada tak iras-iras Dora the Explorer tunang dia tu?
Apa kau merepek ni, Camelia.

**********************************************************************
“Saya baru tahu encik Qamarul dah bertunang. Tahniah.” Aku memulakan perbualan masa tengah bersantai dengan dia di lobi Hilton KL Sentral sementara menantikan kedatangan CEO Kejora Shipping Corp yang terlambat kerana baru habis mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
Dia sekadar mengangguk kepala. Razlan yang duduk di sebelahnya hanya tersenyum. Lain macam aku tengok senyum tu. Sorrylah Razlan. Kini Shafi’e yang bertakhta di hati. Cheh! Macamlah si Razlan tu pernah terhegeh-hegehkan aku.
Muka si Zeta tiruan dah masam kelat. Nak tergelak aku tengok dia buat muka bila encik Qamarulzaman segera menarik Razlan duduk di sebelah dia atas sofa dua berangkai tu. Nak tak nak dia duduk di atas sofa satu tempat duduk.
Tak adanya dia nak kongsi tiga tempat duduk dengan aku dan Nadia. Nadia yang duduk di sebelah aku gigih menyiku nak bagi isyarat suruh tengok muka si Zeta tu.
“Tak pernah dengar pun you ada kekasih, Qamarul?” Zeta Jones tiruan tu bersuara manja. Si Nadia siku aku lagi. Karang aku hempuk juga budak ni. Dahla siku tu tajam.
“Tak pernah dengar bukan bermakna tak ada.” Muncung lagi mulut Zeta tu dengar jawapan spongebob tu.

“Tunang you kerja apa?” Tiba-tiba pulak si minah berambut karat tu berminat nak tahu hal ehwal hidup aku.
“Dia kerja biasa-biasa saja.”

“Kerja biasa-biasa tu kerja apa? Kerani? Posmen? Buruh?” Amboi mulut! Nadia dah ketap gigi. Encik Qamarulzaman dan Razlan sama-sama memandang ke arah si Zeta tu.
“Kerja biasa yang halalan toiyiban. Cukuplah nak tanggung makan pakai kami sekeluarga lepas kahwin nanti.” Nada suara aku masih tenang.
“Kalau dah tak nak cakap tu mesti gaji tunang you tak seberapa. Tahanke you nak hidup dengan lelaki macam tu?” Tahap kepanasan dalam dada aku dah naik satu darjah.
“Yang penting bukan gaji banyak ke sikit, cik Norzita Johan oi! Berkat ke tidak duit tu yang penting. Kalau gaji banyak tapi tak berkat, tak guna jugak. Kalau sikit pun tapi berkat, insya-Allah cukup malah berlebih-lebih.” Encik Qamarulzaman dan Razlan sama-sama angkat kening dengar jawapan aku. Sempat lagi Razlan menunjukkan isyarat bagus.
“Macam mana awak kenal tunang awak tu?” Kali ini spongebob yang bersuara.
“Family arrangement.” Kelepuk! Fail yang dipegang si Zeta tu jatuh ke lantai. Terkejutlah konon dengar jawapan selamba aku.
“Awak kata dah kenal dia sebelum ni? Macam mana hari ini kata family atur pulak.” Kening spongebob dah naik sikit masa bertanyakan aku hal itu. Aku telan air liur. Terlajak kata.
“Memanglah kami dah lama kenal tapi family nak eratkan hubungan.” Satu lagi pembohongan dapat aku lakukan dengan jayanya.

“Agaknya sebab mak ayah awak risau awak jadi anak dara tua kut. Itu yang terima pinangan family tunang awak tu.” Kalau ada makhluk pertama pernah rasa sup high heel, orang tu ialah si spongebob ni.
“Yang tua tu encik Qamarul. Dah masuk angka tiga baru nak bertunang. Saya ni baru 26 ok. Jangan nak perasan sangat.” Nada suara aku dah naik sikit. Razlan kat sebelah aku tengok dah mencuit spongebob tu.

“Handsome tak tunang awak tu? Kalau dengan saya macam mana?” Silap banyak dia tanya macam tu.

“Nak dibanding dengan encik Qamarul macam tapak kaki dengan tapak tangan. Tapak kakinya enciklah. Tunang saya tu tapak tangan.” Terus berubah muka dia. Padan muka. Cari pasal dengan aku lagi.
“Eleh! Entah-entah sebab tak ada orang nak kat dia sebab tu dia pinang awak.” Tak habis lagi rupanya.

“To…”
“Bila nak langsung majlisnya?” Razlan bersuara. Meredakan keadaan yang semakin hangat.
“Empat bulan lagi. Insya-Allah.”
“Do you love him?” Aku agak tergamam dengan soalan yang keluar dari mulut Razlan.
“I do.” Yakin aku menjawab. Seketika suara Shafi’e bagaikan bermain di telinga. Razlan mengangguk mendengar jawapan aku.
Encik Qamarulzaman melihat jam di tangannya. Dah hampir setengah jam kami kat sini tapi wakil Kejora Shipping Corp masih belum nampak bayang.
“What a pleasant surprise! Tak sangka dapat jumpa you kat sini, sayang.” Aku terus menikus sebaik suara tu menusuk ke lubang telinga.
“Tak nak pandang I ke, Camelia? I miss you so much.” Jangan aku termuntah kat sini mendengar kata-kata si Azam tu sudah. Aku ni agak alergic sikit dengan madah pujangga.
“And you are?” Mendengar suara encik Qamarulzaman, baru aku berani angkat muka. Dia dah berdiri rupanya. Berdepan dengan Azam.
“Her boyfriend.” Ringkas dia jawab tapi cukup membuatkan aku berdiri. Gaya macam nak pasang kuda-kuda pun ada. Siap bercekak pinggang. Nasib baik aku pakai seluar panjang hari ni. Agak-agak si Azam tu melebih-lebih, aku sepak je dia.
“No, you are not.” Tegas aku berkata.
“Kau pula siapa?” Kurang ajar betul nada suara Bujang Senang tu bertanyakan encik Qamarulzaman.
“Aku tunang dia.” Wajah Azam berubah.
“Yes, he is.” Cepat pula aku pintas sebelum Azam sempat berkata-kata.
“Aku tak percaya.”
“Bukan masalah aku.” Encik Qamarulzaman pula menyampuk.
“Macam mana you berdua berjumpa? Setahu I Camelia bukan mudah nak berkawan dengan lelaki.” Sudah. Soalan Azam membuatkan aku agak terkedu kerana tidak sempat mencipta jalan cerita macam mana kami bertemu. Aku tengok encik Qamarulzaman juga terkulat-kulat. Azam sudah melemparkan senyuman sinis yang amat menyakitkan hati aku, yang membuatkan aku macam nak fitnah dia pernah jadi anggota Taliban. Biar disumbat dalam penjara Guantanamo.
“I first met Camelia di masjid Putrajaya. I kena attend meeting kat sana. Masa tu hujan lebat dan I tak bawa payung. Masa I tengah dok fikir macam mana nak redah hujan lebat sebab nak attend meeting itulah ada one girl datang offer nak payungkan I ke kereta.
“Masa tu I tak sempat nak tanya apa-apa even nak tanya nama pun tak sempat sebab nak kejar masa. Just ucapkan terima kasih. Two month after that I jumpa dia lagi masa sepupu I kahwin. Rupa-rupanya dia kawan baik isteri sepupu I tu.
“Dari situ kami berhubungan dan ambil keputusan untuk bertunang tak lama lepas tu. Lagi enam bulan kahwin. Puas hati?” Lancar dia bercerita. Kagum aku dengan kepantasan otaknya mewujudkan satu cerita palsu. Boleh jadi penulis skrip yang berjaya kemudian hari. Aku tarik balik kata-kata dia tu tiga suku.
“Remember one thing you two. Di mulut naga…” Nak diulang jugak bab-bab naga tu.
“Sudahlah Azam. Jangan nak cakap tinggi melangitlah. Karang aku bukak cerita masa kat Gunung Tahan, baru kau tau siapa sebenarnya naga.”
Terus dia terdiam. Sempat lagi menggoyangkan jari telunjuknya beri amaranlah konon. Hairan pulak aku dengan si Azam ni. Dah tak laku sangatke sampai aku pun dia nak.
Sebaik dia angkat kaki, aku dan encik Qamarulzaman duduk semula. Razlan di sebelah baik punya bagi pandangan semacam kat kawan baik dia tu.
“Apa?” Encik Qamarulzaman bersuara membalas pandangan Razlan.
“Macam ada konspirasi saja teruna idaman Bentara Corp berdua ni. Musykil aku.” Nadia berbisik.
“Kau bayar royalti kat aku. Bagus punya kau kebas kisah cinta aku jadi cerita kau dan Camelia pulak.” Cis! Patut pun smooth je jalan ceritanya. Tak ada sangkut-sangkut. Rupanya kisah Razlan yang diubah nama watak supaya sesuai mengikut keadaan.
“Dah cerita kau yang aku ingat. Hentam sajalah.” Riuh rendah lobi Hilton tu dengan suara mereka berdua. Aku dan Nadia turut tergelak cuma si Zeta tu yang berkecuali.
“Jangan nak mengungkit lagi. Sekali lagi saya tak suruh pun encik Qamarul tolong saya.” Aku beri amaran pada dia.
“Saya hairanlah macam mana dia boleh tersukakan awak. Kalau sayalah…”
“Saya pun tak ingin kat encik Qamarul.” Aku potong cakap dia dulu. Aku tahu mesti dia nak kata tak nak kat aku.
“Encik Qamarul ceritalah pulak macam mana sebenarnya encik jumpa dengan bidadari encik tu. Kami nak dengar.” Nadia pula jadi tukang penyelamat. Wajah Zeta tu jangan ceritalah. Kalah buah kelubi masamnya.
“Daripada nak dengar kisah cinta orang, baik kita bincang pasal meeting dengan dia orang ni.” Termuncung-muncung mulut dia membantah kata-kata Nadia.
“You tak nak dengar sudah. Pergi duduk kat lain. Tak pun tutup telinga.” Nadia tak bagi chance langsung.
“Saya jumpa dia tiga tahun dulu. Semuanya bermula dengan salah faham. Bukan satu permulaan yang baik actually sebab teruk saya kena marah dengan dia. Siap dicurah air milo ke baju saya. Salah faham yang ada kena mengena dengan my mother.
“Tapi yang buat saya tertarik bila dia stood up for my mother. Siap mengaku emak saya tu mak dia. Dan sanggup terlepas satu perkara penting sebab nak pertahankan mak saya. Sejak tu saya ikuti perkembangan dia. Rupanya mak saya pun dah berkenan kat dia. Lagi senang ceritalah macam tu. Lepas betul-betul yakin, barulah saya hantar rombongan.”
Nadia jadi burung belatuk mendengar cerita dia. Terangguk-angguk. Tak adalah best mana pun. Ingat kut ada scene dia jatuh cinta tapi si dia dah ada kekasih atau pun bekas kekasih tunang dia nakkan balik perempuan tu. Paling tidak pun, tunang dia tu mula tak nak dia sebab pernah kecewa.
” I miss you so much, Mel.” Tiba-tiba encik Qamarulzaman bersuara sambil meraup mukanya. Bersinar-sinar mata dia sebut nama tunang dia. Kemaruk sungguh si Qamarul ni dengan Mel tu. Oh! Tunang dia nama Mel. Takkan Mel saja kut. Mungkin Melina, Melika atau Melissa tapi mustahil Melbourne. Nasiblah kau Mel dapat tunang macam spongebob tu.
“Dia cantik tak encik Qamarul?” Tanpa sempat aku tahan dah terkeluar soalan tu dari mulut aku.
“Cantik daripada awak.” Boleh gugur ke rambut dia kalau jawab soalan aku elok-elok.
“Apa you nak susah, kan ramai perempuan lain kalau tunang you tu kena kebas. Tak nak yang jauh, yang dekat pun ada.” Tiba-tiba suara perempuan yang tak nak dengar cerita tadi tu kedengaran. Nak promote diri sendirilah tu. Tak malu sungguh anak dara encik Johan ni. Kesian mak ayah dia.
Razlan yang tergelak tiba-tiba mendengar sesi mempromosikan diri sendiri Zeta tu dijeling tajam encik Qamarulzaman. Nadia pula terjuih-juih mulut tanda meluat siap tunjuk isyarat hidung pesek dan pipi tersua-sua. Aku mengangguk faham.

Dah rupa Donald Duck aku tengok Zeta dengan mulut muncung dia tu.
Perbualan kami terhenti selepas CEO Kejora Shipping Corp, Datuk Wahid Bakar, memberi salam.

**********************************************************************
Aku mengalihkan badan ke kiri dan kanan membetulkan urat selepas lama duduk berbincang mengenai projek kerjasama dengan Teguh Holdings membina sebuah asrama anak yatim di Banting dengan encik Qamarulzaman dan Razlan.
Berdetap-detup bunyinya. Mengalahkan orang buat sawah. Jam hampir pukul 5 petang. Air kopi yang tinggal separuh aku hirup sampai habis. Sedap makcik Nadia ni buat kopi.
Aku dok mengemas kertas kerja yang berselerak atas meja apabila encik Qamarulzaman bersuara. Razlan yang membantu aku turut melihat ke arahnya.
“Apa yang awak harapkan dari perkahwinan awak?” Tak tau pula aku sesi kaunseling perkahwinan di Hilton dua minggu lepas bersambung hari ini.

Razlan meminta diri untuk keluar selepas berbisik sesuatu ke telinga kawan baik dia tu. Aku tengok encik Qamarulzaman ketawa kecil sebelum menumbuk lembut bahu Razlan.
Aku terdiam seketika. Mencari jawapan terbaik untuk soalan itu.

“Saya harapkan keberkatan perkahwinan kami dan kebahagiaan yang berkekalan dunia akhirat. Satu lagi yang memang saya harapkan biarlah saya satu-satunya isteri dia selagi masih mampu nak jalankan tanggungjawab sebagai isteri dan boleh melahirkan anak untuk dia.”
Encik Qamarulzaman ketawa besar. Segak pun kalau dia gelak macam tu. Aku tahu dia ketawa dengar ayat akhir tu.
“Betul awak tak pernah ada boyfriend sebelum bertunang? Nadia yang beritahu. Jangan salah anggap saya nak ambil tahu hal awak tapi awak pun tahu Nadia tu kan. Kadang-kadang bila keluar jumpa client dengan dia, terkeluar juga kisah awak.”
Memang aku tahu sangat mulut Nadia tu. Cap murai yang ekornya sama ada dicabut atau tercabut.
“Memang tak pernah ada. Kadang-kadang saya sendiri hairan dengan diri saya. Masa kat UiTM dulu bukan tak ada kawan lelaki yang nak serius dengan saya tapi entahlah. Saya tak terbuka hati langsung.” Terangguk-angguk dia dengar penjelasan aku sambil tersenyum.
Mengapalah lately ni jugak aku rasa senyuman dia makin mengancam?
“Kiranya tunang ni one lucky guylah. Cinta pertama awak untuk dia.” Aku tak pasti itu ayat tanya atau ayat penyata tapi jawapannya: Ya.
Ya bagi cinta pertama aku untuk dia tapi bab dia bertuah tu, sila tanya tuan punya badan.
“Sejak bertunang ni memang awak tak pernah jumpa dia lagilah?” Aku sekadar mengangguk. Menipu lagi. Bukan sejak bertunang tapi tak pernah jumpa langsung.
“Awak tak nak jumpa dia at least sekali sebelum nikah?”
“Nak sangat kalau dengan mak dan ayah ada sekali.” Kami terdiam untuk jangka waktu agak panjang. Aku berkira-kira hendak angkat punggung bila dia menembak aku dengan satu lagi soalan.
“Jika tak keberatan awak nak jawab, apa awak nak sebagai mahar? Kalau mahar yang awak nak tu bukan dalam bentuk wang ringgit.”
Terkulat-kulat juga aku nak menjawab sebab satu mahar aku dah ditetapkan masa tunang hari tu. Kedua, memang pun dalam bentuk wang ringgit.

Pada masa sama hairan jugak. Mengapa dia baik sangat hari ni? Takkan tinggal dua Jumaat lagi saja kut? Walaupun menyampah kat dia tapi aku taknaklah dia cepat sangat tinggalkan dunia ni.
Bagi soalan dia apa aku nak sebagai mahar jika bukan dalam bentuk RM? Takkan nak minta Taj Mahal pulak. Nampak sangat overnya. Atau pun minta Shah Rukh Khan buat persembahan masa majlis kahwin aku nanti. Lagila tak logik. Siap top up dosa lagi.

“Nak kata mahar nampak macam berat sangat sebab itu perlu ditunaikan oleh pihak lelaki. Senang cerita anggap mahar yang kita sebutkan sebagai hadiah perkahwinan sajalah.” Encik Qamarulzaman mengangguk.
“Saya tak minta banyak, encik Qamarul. Cukuplah dia mencintai saya seadanya dengan setiap udara yang dia sedut tanpa meletakkan saya melebihi ketaatan dia kepada Allah, Rasul dan ibu bapanya. Itulah maharnya. Mahar cinta Camelia.”
Entah cuma perasaan aku atau itu realitinya, aku nampak mata dia berkaca sebaik aku habis berkata-kata.
“Boleh saya rembat konsep mahar cinta awak tu untuk dihadiahkan kepada bakal isteri saya nanti?”
“Tunggu saya daftar dengan Suruhanjaya Sekuriti. Senang nak minta royalti.” Dia tergelak besar.

“Awak ni dah macam Razlan. Sampai sekarang mengungkit royalti kisah cinta dia yang saya pinjam dulu tu.”
Aku pula tergelak. Dia cuma mengangguk saat aku minta diri sebelum terus belek fail yang bertimbun di atas mejanya.

**********************************************************************
Perintah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung tidak boleh diengkari lagi. Kalau Yang DiPertuan Agung punya arahan aku masih boleh merengek-rengek minta postpone ke, apa ke. Status anak perempuan tunggal kerap kali buat ayah aku mengalah.
Tapi mak. Haram. Tak lut langsung dengan segala pujuk rayu aku. Jadinya, Jumaat itu aku dan Nadia mengambil cuti separuh hari dan bertolak ke kampung aku.
Itupun selepas mendengar pot pet pot pet si bos Nadia tu. Bergilir-gilir aku dan Nadia jadi pemandu kereta Vios aku tu.
Masa dia pandu, jangan harap aku boleh nak lelap hatta sesaat pun. Tapi bila giliran aku, dia membuta tak ingat dunia.
Kami tiba jam enam petang. Erat mak peluk Nadia tapi aku disuruhnya angkat beg masuk dalam. Diskriminasi terang-terangan.
Rumah aku dah meriah dengan persiapan majlis perkahwinan aku. Maklumlah tinggal sebulan saja lagi. Sesekali terlintas jugak di fikiran, betulke apa yang aku buat ni. Tapi encik Shafi’e bijak memujuk lewat panggilan telefonnya yang cuma dua atau tiga kali seminggu itu.
Bertuah rasanya bila jadi anak perempuan tunggal ni. Semua keluarga siapkan. Aku sedia badan saja hari kahwin nanti. Masa ni je pun nak rasa bertuah. Hari lain, kalau tak kenangkan tukar jantina tu dosa besar, nak je aku suruh adik lelaki yang tiga orang tu jadi perempuan.
“Pasai apa mak suruh Lia balik ni?” Aku mengendeng tepi mak lepas makan malam. Nak jugak tahu mengapa aku dipaksa balik jugak-jugak padahal tak sampai sebulan aku nak balik lagi. Secara langsung juga hilang slang Kolumpo aku. Balik kepada asal.

Nadia dengan Nabila dah hanyut ke Pulau Nami dengan pelakon Korea. Adik aku yang tiga orang tu dok mengadap bola sepak. Tak jemu ke?
Soalan aku tak dijawab tetapi tengok mak dan ayah dok main ‘menjeling menjeling ku bertentang, mata kita sama memandang’ tu, buat aku tak sedap hati. Dah tu senyum-senyum pulak tu.
Jangan cakap aku nak dapat adik lagi sudah.

“Mak dengan ayah ni pasai apa? Dok senyum simpui dari tadi. Mak mengandung lagi ka?” Dasar mulut tidak bermoral. Ada pulak soalan tu yang keluar. Kan paha aku dah dapat habuan. Bersiut-siut aku tahan pedih.
“Hang jangan dok meghepek sangat aih, Lia. Dok cakap benda yang tak dak tak dak.” Sama laju tangan dengan mulut mak aku.
“Dak la. Lia tanya mak tak jawab. Lepaih tu dok main jeling-jeling dengan ayah. Awatnya yang suruh Lia balik mai?”

“Abang Shafi’e nak tengok kak Lia.” Nabila yang muncul tiba-tiba dengan Nadia tolong jawab bagi pihak uda dan dara versi warga emas tu.
Aku terkedu. Tergamam. Dia nak tengok aku? Takkan kut. Aku dan Nadia saling berpandangan.

“Biaq betui mak, ayah. Dia nak tengok Lia.”
“Apa pulak tak betuinya. Betuila cara dia. Mai jumpa tunang depan mak, ayah.” Ayah bersuara.
“Dia nak tengok Lia cari apa? Sabaqla sikit. Sebulan ja lagi.” Aku dah tak senang duduk. Memulas-mulas perut aku.
“Lia, Islam pun bagi bakal suami tengok muka dan tapak tangan bakal isteri sebelum kahwin. Hang pun tak pernah tengok dia lagi. Esok jumpa. Kenai serba sikit dulu. Nak kenai lebih-lebih tunggu lepaih menikah. Kenai luaq dalam pu tak pa dah.” Mak pula tambah.
Rasa panas muka aku dengar mak cakap macam tu. Kenapa malam ni aku rasa mak dengan ayah aku macam terlebih hormon je? Muka Nadia pun dah merah. Tak baik mak cakap macam tu depan kami anak dara ni. Nak-nak budak bawah 18 tahun tu dok bertenggek tepi mak.
Wait, wait. Rewind balik sikit apa mak cakap tadi. Esok jumpa. Esok?
“Esok? Dia mai esok?”
“Ish budak ni. Pekak ka apa. Dia nak mai tengok hang esok.” Suara mak dah tinggi sikit. Kalau aku buat blur lagi memang keluar aura Siti Tanjung Perak dia tu.
“Pagi esok kita pi market. Beli apa yang patut nak jamu depa makan tengah hari kat sini.” Tu perintah tahap mandatori.
“Depa tu maknanya mak, ayah dia sekali ka?” Nadia pula bersuara dengan loghat utara dia yang lintang pukang tu.

“Dak aih. Mak dengan ayah dia tak mai. Dia mai berdua dengan kawan dia.”
Aku tak pasti apa akan jadi esok. Tapi yang pasti malam ni aku diserang insomnia. Memikirkan apa akan jadi esok. Buatnya dia tak berkenan kat aku macam mana? Takkan kut sebab dia dah luah perasaan dia. Tapi dibuatnya aku yang tak berkenan kat dia? Rasanya lagi tak sebab aku dah jatuh tergolek, terlentang, tertiarap kat si pemilik suara garau itu.
Tapi aku tetap tak boleh tidur. Rasa antara lambat nak tunggu esok dengan tak nak esok tu datang sama banyak. Melihat Nadia sakan berposing kat sebelah aku atas katil dan Nabila yang tidur sampai ternganga mulut atas toto kat lantai, aku rasa nak pijak je makhluk dua ekor ni.

**********************************************************************
Aku baru tanak nasi bila si anak dara Pak Lang aku tu masuk dengan mulut berkeremot dok tahan senyum. Nadia sibuk siang sayur. Mak yang merangkap ketua chef dalam rumah ni, tak nampak bayang lepas balik dari pasar tadi.

Kari bawal, check. Selar kukus dengan air asam, check. Siakap masak merah, check.Tinggal nak goreng sayur campur dan tumbuk sambal belacan je. Ulam-ulaman main rembat kat tepi rumah je.
“Yang dok tersenyum simpui ni awatnya? Bukan nak tolong kak Lia dengan kak Nad di dapoq. Dok bersaie dari tadi. Depan ke dapoq, dapoq ke depan.” Nabila tarik muka dengar aku berleter. Tapi sekejap saja. Tayang balik senyum dia tu.

“Dia dah sampai.” Perlahan Nabila bersuara. Dan walaupun tak sebut nama tapi aku tau ‘dia’ tu merujuk kepada siapa.

Mulanya ingat Nabila main-main tapi kemunculan tiba-tiba mak yang dah bertukar baju dan tudung kat dapur, aku tau dia tak tipu. Bila masa makcik Zaiton ni balik mandi dan tukar baju aku pun tak sedar.
Bila masa dia sampai? Tak dengar suara orang pun. Tapi rumah ayah aku kat kampung ni memang luas. Kalau duduk kat dapur, alamat tak dengarlah kalau ada orang bagi salam kat depan.

“Nabila, buat ayaq oren kat abang Shafi’e hang dengan kawan dia. Karipap yang mak hang buat tu bubuh sekali. Sat gi hang pi hantaq kat depan. Lia, Nadia, hampa dua orang duk di dapoq masak sampai habih.
“Lepaih masak boleh makan teghuih. Panas-panas baru sedap. La ni pun dekat pukui 12.30 dah. Hampa dua orang jangan dok gatai nak mengendap. Tau kat mak, mak cubit hampa. Sudah masak pi hidang kat depan. Kita duduk ataih lantaila. Dah ramai. Dengan pak lang hang anak beranak lagi.”
Dah gaya panglima Jepun atur strategi nak serang Pearl Harbour je mak aku punya arahan. Siap dengan tangan berayun ke sana ke sini.

Lepas mak dan Nabila ke depan, aku sambung tumbuk sambal belacan dengan hati yang kembali dap dup dap dup. Nasib baik tak terkeluar. Kalau tidak jenuh aku dok kejar.
Perut jangan ceritalah. Kejap kecut, kejap kembang. Kejap depan, kejap aku rasa dah terlepas ke belakang.


Nasiblah dalam dok gabra tu, jadi jugak sambal belacan aku. Sedap pulak tu. Yang syoknya bukan aku saja yang jadi tak tentu arah, si Nadia pun sama tak senang duduk.
“Aku takutlah Nad.” Aku meluahkan perasaan sementara tunggu nak hidangkan nasi.

“Relaksla. Tak ada apa yang kau nak takut. Bukan dia boleh nak buat apa pun. Paling teruk pun dia tak jadi kahwin dengan kau je.”

Akhirnya kena juga penendang aku budak Nadia ni. Orang tengah tak senang hati, dia boleh lawak bodoh tu. Lepas tu terhegeh-hegeh minta maaf.
“Aku serius kau main-main pulak.”


“Peliklah kau ni. Orang kalau dah bercinta tak menyempat-nyempat nak berjumpa. Kau ni pulak takut-takut. Apa sebenarnya yang kau takutkan? Cuba beritahu aku.” Nadia sudah masuk mode serius.
“Aku tak tahu. Macam-macam yang aku fikir sampai satu tahap aku dah tak tahu apa yang aku fikir.” Bagus sungguh scene yang aku dan Nadia pilih untuk sesi luahan hati. Kat dapur. Gamak-gamak gemuruh tak habis, senang nak capai makan minum.

Itu sebenarnya yang aku buat. Sejak Nabila beritahu dia dah sampai, dah bergelen-gelen air masak aku telan.
“Dear, tengok aku.” Kata Nadia sambil tangannya memegang kedua-dua belah pipi aku dan mengangkat muka aku supaya melihatnya.

“Nothing to afraid of. Trust me. Somehow I can sense that he really really serious about you, Lia. Kau tak terfikirke yang dia datang sini nak bagi peluang kau tengok dia, bukan the other way around.”
Kata-kata Nadia buat aku terpaku sejenak.

“Maksud kau…dia…” Nadia tersenyum.
“Yes dear. Mungkin dia dah kenal kau. Melalui gambar mungkin dan selama ni dia stalk kau kat KL. Kau yang tak tahu.”

Emosi aku agak tenang mendengar kenyataan Nadia. Mungkin juga dia sebenarnya dah pernah lihat aku dan aku saja dok terbayang-bayang macam mana rupa dia.
“Kak Lia, kak Nad. Mak long suruh hidang nasi kat dalam. Buat dua hidang. Satu hidang untuk lelaki dan satu lagi untuk pompuan.” Nabila si penghantar mesej sudah sampai. Aku sambar tangan dia sebelum dia lari.


“Jangan nak lari. Tolong bawak lauk ni ke depan. Penyegan sungguh anak dara cikgu Harun ni tau.”
Nasi dan lauk siap dihidang dalam dua hidangan seperti yang mak suruh. Dua, tiga kali aku pastikan semuanya ok. Ada kendi basuh tangan. Ada tuala lap tangan. Sudu dan pinggan serta gelas mencukupi.

“Lia.” Aku yang tengah bertinggung membetulkan sudu kari terus terduduk dengar suara soprano mak.
“Mai depan ni sat. Jumpa tunang hang ni.” Tu dia! Masa yang ditunggu dah tiba. Aku berdiri perlahan-lahan.
Sambil heret Nadia, aku atur langkah satu persatu ke depan ruang tamu. Aku punya berdebar masa tu jangan kiralah. Kalau masa tu pergi buat pemeriksaan kesihatan, sah-sah aku kena tahan wad kerana disyaki ada masalah jantung dan darah tinggi.
Mata aku terus terpaku ke arah marmar kuning susu yang menjadi penghias lantai. Tak berani langsung angkat muka. Terpacak di depan mak, ayah, Shafi’e dan kawannya.
“Lia, ni lah tunang Lia. Shafi’e, inilah rupanya anak ayah.” Suara ayah lembut menerjah ke telinga.
Aku angkat kepala perlahan-lahan dan sebaik mata menyapa seraut wajah di depan yang sedang tersenyum, aku rasa darah aku disedut sehingga kering.
Masa ni dah tak ada control ayu ke, control cantik ke kerana aku tahu mesti mata aku terbeliak dan mulut aku ternganga.
Kalau dalam filem atau drama, sahih wajah aku difokus secara dekat dan ditayang daripada pelbagai sudut – kiri, kanan, atas bawah, depan belakang. Nak bagi ekstrem lagi, ditambah dengan sound effect guruh berdentam dentum, kilat sabung menyabung.
“Apa khabar Camelia?” Suara itu sayup kedengaran.

Aku dah hilang suara. Aku macam tak percaya dengan mata aku sendiri. Takkan kut! Ish! Mimpi saja ni. Aku berpaling ke kanan. Bila tengok Nadia pun bagi reaksi macam aku sebaik nampak dua makhluk di depan, aku tahu aku bukan mimpi. Dia lagi over sebenarnya. Siap telunjuk dia ke kiri ke kanan dok tunjuk dua lelaki kat depan kami tu. Tampar-tampar pipi, picit-picit dahi.
Ini betul-betul! Bukan cobaan atau mimpi atau mainan tidur whatsoever.

Tapi mungkinkah pelanduk dua serupa. Tapi kalau dia tu pegang watak pelanduk berwajah serupa, takkan wajah makhluk kat sebelah dia pun sama saja dengan pelanduk di Bentara Corp nun. Takkan kebetulan sampai macam tu sekali kut.
“Jomlah makan.” Ajak ayah lalu bangun. Kaki aku masih macam kena gam kat lantai. Sampailah mak tampar lengan, barulah aku bergerak. Buat pertama kali dalam hayat aku 26 tahun, aku makan nasi tak tambah kat rumah. Bukan setakat tak tambah, tak habis walhal aku bubuh dalam pinggan tak sampai setengah senduk.
Dia ke Shafi’e yang aku puja selama ni? Tapi nama dia bukan Shafi’e. Dari mana pula nama retro tu datang.

Macam mana aku nak mengadap dia lepas ni? Rasa nak pakai purdah pergi kerja. Malu wo! Dahlah bagus punya dok mencurah rasa hati.
Kalau aku tak jadi kahwin dengan dia, agak-agak mak mengaku aku anak tak?

**********************************************************************
“Jangan dok buat perangai, Camelia. Tinggai sebulan saja lagi. Dulu hang jugak kata ikut mak, ikut ayah. Ni awat tak mau pulak kat dia? Nadia kata hampa dua elok saja sebelum ni. Bukan hang habaq kat Nadia hang suka si Shafi’e tu?” Ayah serang aku sebaik dia balik dari masjid.
Lepas aku buat drama swasta beritahu tak jadi kahwin dengan Shafi’e tu.
Dasar pengkhianat. Aku jegil mata kat Nadia. Dia sekadar tersenyum lebar. Aku rasa nak jahit je mulut murai tu.
“Tak taulah budak bertuah ni, ayah hang oi! Dia ingat kerja nikah kahwin main-main gamaknya.” Mak pulak menyampuk.
“Susahlah mak.”

“Susah apanya. Bukan nak suruh hang menyamaq jadi ejen Mossad pi bunuh puak Yahudi tu. Suruh menikah. Apa yang susah?”
Memanglah tak susah mak kalau bukan dengan Shafi’e tu, aku jerit kat mak dalam hati.

“Nama dia bukan Shafi’e. Pasai apa dia habaq nama dia Shafi’e kat mak dengan ayah?” Terkebil-kebil aku tunggu jawapan ayah. Aku nak tau sangat dari mana datangnya nama retro tu.
“Memang tu bukan nama sebenaq dia tapi dari kecik adik beradik, keluarga dia panggil dia Shafi’e. Kira Shafi’e tu nama panggilan kalangan keluarga rapat.” Ayah jawab.
“Tapi dia tu orang atas Lia. Pangkat bos tu.”
“Awatnya kalau dia bos hang. Tak dak dalam hukum kata tak boleh kahwin dengan bos sendiri.”
Aku tahu sudahnya dari mana aku dapat bakat jawab menjawab kata orang ni. Mak aku jadi mentornya.
“Tidak pun kita mintak tangguh setahun dua lagi, tak boleh ka?” Makin lama makin mengarut idea aku.
“Hang pi habaq kat depa sendiri. Hang dah besaq, belajaq pun tinggi. Ikut hangla nak buat apa. Mak dengan ayah ni sapalah.”
Aku cukup kalah bila mak diserap semangat Neng Yatimah. Belum apa-apa dah berjurai-jurai air mata.
“Dak aih. Lia melawak saja. Mak jangan dok buang ayaq mata macam ni. Membaziaq. Tak baik. Sedara setan tu.” Aku peluk mak kejap. Memang betul pun aku melawak minta batalkan majlis kahwin tapi dengan harapan mak dan ayah setuju.
Malam tu dalam bilik aku terkebil-kebil pandang dinding. Tak percaya dengan apa yang terjadi. Kenapa dia sanggup bohong aku sampai macam tu sekali? Apa muslihat dia. Patutlah sesekali aku rasa macam pernah dengar suara Shafi’e setiap kali dia call.
Sejak dia balik lepas zohor tadi sampaikan bawak ke Isyak, 20 missed call aku dapat dari dia. Kalau sebelum ini, panggilan itulah yang aku tunggu tapi lepas penyamarannya terbongkar, aku rasa nak baling kat dinding telefon aku setiap kali dia call.
“Sudahlah tu. Terima je hakikat dah jodoh kau dengan dia.” Nadia bersuara.
“Tak tahulah Nad. Aku rasa dah tawar hati. Sanggup dia tipu aku sampai macam ni sekali. Saja nak bagi aku malu.” Syahdu pulak aku malam ni. Airmata laju je meleleh. Makin dilap makin laju turunnya. Air hidung pun tumpang sekaki.
“Dia tak tipu cuma tak cakap terus-terang. Besar beza tu. Mungkin ada sebab dia buat macam ni.” Nadia sudah mengiring mengadap aku.

“Sebab apa Nad? Sebab nak memalukan aku. Depan dia aku mengaku cintakan dia masa kat Hilton dulu. Aku tak tahu mana nak letak muka ni. Bodoh betul aku. Macam mana boleh tak kenal suara dia?”
“Bab tu aku rasa pernah berlaku. Mungkin tak banyak tapi ada kes sesetengah orang dalam telefon suara lain, kat luar suara macam lain.

“Kes kau macam kes kakak kawan aku. Kes tersilap nombor telefon. Bercinta macam nak rak walhal tak kenal pun orangnya. Rupa-rupanya lelaki tu bos dia. Masa dia dapat tau, dia punya malu sampai nak berhenti kerja.
“Tiap-tiap hari dia bersembang dengan bos dia tu sebab dia pun setiausaha. Tapi boleh tak kenal suara dalam telefon.” Aku buat dengar tak dengar je cerita Nadia.

Deringan telefon mengejutkan kami berdua. Sebaik lihat nama di skrin Sony tu, aku simpan bawah bantal. Tapi Nadia secepat kilat menyambar.
“Waalaikumussalam. Dia buat apa? Buat apa lagi. Tunang you tu tengah merajuk. Boleh dyhidrate dia kalau terus macam ni. Iyalah dok menangis dari tadi. Dia tak mahu cakap dengan you.” Aku pejam mata. Malas nak dengar Nadia melayan Shafi’e tu.

“Saya tengah pujuklah ni tapi langsung tak jalan. Lagi menjadi adalah. Rasa nak lempang pun ada.” Kali ini aku cubit dia sungguh-sungguh.

“Mengapa tak terus-terang dengan dia?” Telinga aku panjang sedikit. Aku tengok Nadia terangguk-angguk. Agaknya mengiyakan auta orang sebelah sana.
“Nah. Cakaplah dengan dia. Dia baru sampai KL. Kesian dia, Lia.” Nadia menyuakan telefon sampai depan mata.
Dengan rasa sebal, aku letakkan telefon kat telinga.

“Assalamualaikum.” Suara yang pernah aku gilai itu memberi salam. Tapi kini suara tu mengundang 1,001 rasa tidak senang dalam hati aku.
“Waalaikumussalam.” Sepatah aku jawab dengan kasar.
“Marah lagi?”
“Marah? Mana ada saya marah. Dok tengah melompat seronok ni.”
“I’m sorry. Bukan niat saya nak sembunyikan perkara sebenar atau nak menipu awak tapi saya perlukan jaminan awak juga ada rasa yang sama dengan saya.”
“Bab nak memalukan orang, nak mempersendakan orang tak perlu niat. Awak dah letakkan maruah saya di tempat paling bawah.” Airmata kembali berjurai-jurai. Tersedu-sedu aku.
“Don’t cry please. Saya tak pernah injak maruah dan harga diri awak. Maruah dan harga diri yang awak junjung itulah yang mengikat hati saya sampai saya dah tak boleh berpaling. Saya tak menipu mengenai perasaan saya pada awak. Saya…”
“Tapi awak dah memalukan saya. Awak buat saya rasa macam saya terhegeh-hegehkan awak.” Suara aku sedikit tinggi. Mengenangkan luahan cinta aku pada dia malam tu, aku rasa nak cabut je kepala ni.
“That’s not true. Sebetulnya saya yang terhegeh-hegehkan awak. Saya yang selidik latar belakang awak, perhatikan awak dari jauh. Saya yang pinang awak. Saya yang desperate to be with you.” Pujukan dia sedikit pun tak mengurangkan rasa marah aku.

“Saya buntu sangat buat masa ni. Saya nak tidur.” Terus aku matikan telefon. Bukan setakat off kan benda alah tu, siap cabut bateri sekali.
Kalau pujuk mak dan ayah at least tangguhkan perkahwinan aku tak jalan, apa kata aku pergi serang arkitek sebenar yang merancang semua ni. Tunggu kau!

**********************************************************************

Aku ke tempat kerja Isnin tu dengan semangat waja. Semangat nak menyerang si Shafi’e yang buat hidup aku tunggang langgang dengan drama swastanya yang tak best langsung.
Sejak kes dia menjelmakan rupa sebenar itu, aku langsung tak balas panggilan atau SMSnya. Kalau kebetulan Nadia ada waktu telefon tu berbunyi, dialah yang suka rela nak menjawab. Lepas tu sepanjang malam dok pot pet pot pet leterkan aku.


Tak dinafikan ada kala hati perempuan aku tersentuh dengan SMS yang dia hantar tapi saja keraskan hati. Konon. Lepas tu sepanjang malam dok menatap SMS dia.
Cakap tak serupa bikin betul Camelia ni, tau.

Hati perempuan mana tak cair bila dia SMS minta maaf sungguh-sungguh lepas tu ada saja love quotes. Pagi tadi, elok lepas solat subuh ada SMS masuk. Aku tak payah tengok dah tau siapa yang rajin dok derma duit kat Celcom pagi-pagi hari.
‘Sorry for hurting you, dear. I really am. Just want to say please let me wake to see you each and every morning.’

Tapi mood harimau betina yang ada anak kecik nak menyerang tunang aku tu hilang macam tu saja sebaik ternampak muka dia dalam lif. Bila masa pulak dia ada dalam lif ni.
Aku baru nak langkah keluar tunggu lif lain bila terasa beg tangan aku ditarik. Aku diamkan saja sebab dah ramai staf memenuhi ruang sempit itu.

Tapi jeling ke arah dia pun tidak walaupun dari ekor mata aku tahu dia dok perhatikan aku.

Cucuk biji mata baru tahu. Tak tau ke saya ni belum halal untuk awak, aku mengutuk dalam hati. Sampai di tingkat empat, aku menonong keluar. Siap tarik tali beg tangan aku yang dia pegang kejap.
Kalau orang nampak, mesti salah faham aku sebenarnya nak ragut beg dia. Sampai kat tempat aku, beg tangan aku hempas dengan agak kuat atas meja.

Aku hidupkan PC kononnya nak mau tangguh nak buat kerja. Kerja apa? Kerja melangut dan termenung.
Aku teguhkan balik hati untuk bersemuka dengan dia hari ini. Semua kekusutan ni perlu dirungkaikan segera. Sebab nak berjumpa dengan selesaikan semua ni dalam keadaan tenang, aku sanggup puasa. Kononnya nak kurangkan sedikit baran dan marah aku yang rasanya tak surut-surut sejak si Shafi’e menunjukkan rupa dia yang sebenar.
Sebaik tiba waktu lunch aku menapak ke biliknya. Pada Nadia aku dah beritahu. Jadi, dia turun lunch dengan staf lain. Sempat jugak dia ingatkan aku hukuman bagi kesalahan bunuh orang kat Malaysia ialah tali gantung.
Dengar dia cakap macam tu aku rasa nak bunuh dia pulak.
Dengan Bismillah, pintu bilik dia aku ketuk dengan hati yang cukup yakin. Kali ini tanpa menunggu arahan, terus aku buka pintu. Takut apa? Dia yang salah, bukan aku. Latihan depan cermin untuk tunjukkan muka macam tak ada apa-apa, aku praktikkan.
Dan dia situ. Tenang bersandar di kerusi empuknya dengan muka tanpa ada rasa bersalah langsung. Sungguh aku rasa nak bunuh orang masa ni.
“Duduklah. Takkan nak tercegat je kat situ?” Lembut suara mempelawa aku duduk. Tidak ada lagi ayat-ayat sarkastik daripada mulut itu.
Aku masih lagi berdiri tegak. Nak protes lagi tu. Alang-alang nak melawan, buat betul-betul sebelum nak tinggikan suara depan dia pun dah tak boleh.
“Jangan macam ni. Dahlah awak tu puasa. Buatnya pitam. Tak pasal-pasal batal puasa tu.”
Aik! Macam mana dia tahu aku puasa? Opps terlupa! Dia gaji burung murai jadi setiausaha.
“Inike kerja biasa-biasa encik Shafie’e?” Aku terus perli dia. Encik Qamarulzaman tak menjawab. Cuma merenung tajam. Aku balas balik. Lagi tajam rasanya.
“Mana datangnya nama Shafi’e tu?” Lain aku nak tanya, lain yang keluar. Tapi memang pun aku nak tahu dari mana datangnya nama Shafi’e tu.
“Masa kecik dulu saya selalu sakit. Kata orang tua-tua kata nama saya tak sesuai. Atuk panggil saya Shafi’e. Agaknya nama Shafi’e tu serasi kut, sejak tu saya dah tak kerap sakit-sakit. Sampai sekarang famili terdekat panggil saya Shafi’e. Si Razlan tu kalau datang angin nak menyakitkan hati dia panggil saya Pak Pie.” Sakit dada aku tahan gelak. Aku kemain semangat marahkan Nadia panggil dia Pak Pie, selamba badak je Razlan panggil dia macam tu.
“Apa tujuan encik Qamarul main-mainkan saya sampai macam ni sekali? Apa dosa saya kat encik Qamarul?” Suara dah sebak. Semangat Malaysia Boleh yang aku dok canang sejak semalam melayan entah ke mana.
“Saya tak terniat langsung nak main-mainkan awak. Awak yang tak nak jumpa saya. Saya pernah ajak jumpakan? Tapi awak kata tak elok berjumpa jauh daripada mata mak dan ayah.
“Awak juga kata nak tengok saya sebelum nikah depan mak dan ayah. Itulah yang saya buat. Kalau ada dosa awak pada saya cuma awak dah ikat mati hati dan perasaan saya pada awak.” Muka aku rasa tebal tiba-tiba dengar dia cakap macam tu.
“Tapi encik Qamarul boleh berterus-terangkan dalam telefon? Tapi sengaja tak nak sebab nak tengok saya macam orang bodoh jatuh cinta dengan orang yang tak kenal.” Aku serang dia lagi. Airmata berjaya kutahan untuk tidak luruh walau setitik.
Aku tak mahu ambil alih takhta Neng Yatimah. Sebab lelaki pulak tu.
“Saya takut Mel.” Aku pandang dia tepat mendengar jawapan itu. Apa yang dia nak takut? Aku bukannya pandai menembak, lesen pistol pun tak ada.
“Takut apanya?” Aku tanya. Macam bodoh je soalan tu.
“Takut awak tak dapat terima saya. Takut selama ini saya bertepuk sebelah tangan. You are my life, Mel.”
Ni yang aku lemah ni. Muka ni tak tau nak letak kat mana. Dia relaks je aku tengok dok mencurah rasa hati. Tak ada nak termalu-malu macam aku.
“Encik Qamarul sanggup berdepan risiko saya marah-marah macam ini daripada nak berterus-terang? Apa yang buat encik Qamarul yakin saya masih boleh terima encik bila semuanya dah jelas?”
“Saya yakin kerana awak dah berjanji, Camelia. Awak dah berjanji akan terima saya dalam apa juga keadaan. Awak dah berjanji akan terima siapa saja saya. Awak dah berjanji tak akan berpaling dari saya. Awak dah berjanji cinta awak hanya untuk suami, which is me, dalam masa sebulan lagi, insya-Allah.”
Kali ini aku agak kehabisan idea nak balas kata-katanya. Dia pula banyak idea nak balas semua serangan aku. Memang betul pun aku berjanji akan terima siapa saja dia. Mana aku nak sangka dia yang aku maksudkan tu si spongebob ni.
“Encik Qamarul tak adil pada saya. Cara encik bercakap sebagai Shafi’e seolah-olah kita tak pernah jumpa padahal encik dah kenal saya.” Aku masih tak mahu kalah.
“Saya tak pernah kata kita tak pernah kenal. Saya kata kita tak pernah kenal dan jumpa secara peribadi. Itu betul apa. Kita tak pernah keluar dan berkenalan macam pasangan lain. Kita bertemu atas nama kerja. Dari satu segi, apa yang saya cakap itu betul.”

Dia dapat satu point lagi. Mana aci macam ni. Aku susah payah jumpa dia sebab nak serang dia. Tak aci kalau aku yang kerap kena ambush.
“Mengapa tipu pasal pertama kali kita jumpa? Bila masa saya marahkan encik Qamarul? Saya kena marah dengan adalah.” Masih ada point nak hentam dia.
Dia tergelak. Kuat dan panjang. Dada aku berombak-ombak tahan marah. Nampaknya pahala puasa aku hari ini tinggal separuh.

“Betullah Nadia kata masalah amnesia awak ni dah tak boleh ubat.” Pulak! Apa kena mengena dengan masalah lupa aku?
“Awak memang tak ingat kali pertama jumpa saya?” Aku menggeleng.
“Betul-betul tak ingat?”
“Taklah.” Aku menjawab dengan nada kuat.
“Tak baik tinggi suara kat bakal suami.” Aku jegilkan mata.
“Bakal suami, bukan suami. Selagi belum jadi suami, tak ada nas yang larang nak tinggi suara ke, nak tengking ke, nak baling barang ke.” Bagus juga dia ingatkan aku pasal tu. Sementara belum jadi suami ni, bolehlah aku marah-marah dan tengking-tengking dia. Balas dendam awal-awal.

“Sanggup ke awak nak buat macam tu?” Dia nak uji aku rupanya.
Aku bergerak ke sofa. Surat khabar atas meja aku sambar dan gulung. Aku pukul meja dia dengan gulungan akhbar tu. Kuat jugak.

“Nak lagi?.” Aku cabar dia. Encik Qamarulzaman angkat tangan.

“Janganlah berencik-encik dengan saya. Macam berbincang dengan staf pulak rasanya.”
Eh,eh! Dia ni. Memanglah aku ni staf dia. Takkan baru bertunang masalah amnesia aku dah berjangkit kat dia. Tak pernah dengar pula masalah tu boleh berjangkit.

“Bila awak start kerja kat sini?”
“2 hb Jun 2007.”
“Bila awak datang untuk temuduga?”
“2 hb Mei 2007.”
“Apa awak harapkan masa temuduga tu?”
“Honestly saya tak sangka diterima sebab saya terlambat hari temuduga tu.”
“Mengapa awak lambat?”
“Apa kena mengena dengan bila kita jumpa?” Dia ni nak buat iklan apa lagi.
“Jawablah je lah, sayang.” Erk! Muka aku kebas lagi dengar perkataan akhir tu.

“Saya tolong seorang makcik ni. Ada mamat mana ntah bawa kereta macam jalan tu dia punya, terlanggar makcik ni. Lepas tu selamba je dia blah.”
Bab tu aku masih ingat dengan jelas. Aku yang termengah-mengah berjalan menyusuri kedai yang berderet menuju ke Bentara Corp sambil memegang setin milo hampir menjerit melihat seorang makcik terjatuh dilanggar kereta yang berlalu macam tu saja.

Aku segera berlari dan mengangkat makcik tu sambil membelek tapak tangannya yang sedikit luka. Geram punya pasal aku buka kasut dan baling ke arah kereta yang masih tak jauh dari situ. Kena pulak tu.
Tengok pemandu dia keluar tergesa-gesa aku gabra jugak. Buatnya bercalar kereta dia mampus aku nak bayar. Mercedes mata belalang oi! Tapi sebab kesiankan makcik tu, aku buat-buat berani.
“Macam mana awak bawak kereta? Lesen terbang ke? Suka-suka hati awak nak langgar mak saya lepas tu nak blah macam tu je. Awak ingat awak Mercedes, awak ada lesen nak langgar orang sesuka hati. Kalau jadi apa-apa pada mak saya ni, saya cari awak sampai lubang cacing.” Aku ingat lagi lebih kurang macam itulah aku sembur mamat tu. Memang aku marah sangat masa tu. Teringat kat mak aku.
Aku terus curah saki-baki air milo ke bajunya. Terbeliak mata dia tengok baju kemeja putih dia dah ada corak.
“Tak apa, nak. Sikit je ni. Mungkin dia nak cepat.” Aku berpaling mengadap makcik tu yang nampaknya masih cantik. Pada usia 50-an aku rasa, sisa kecantikan dia masa muda masih jelas kelihatan.
“Sikit tak sikit, mak. Orang macam ni bukan boleh biar. Kena ajar biar dia sedar sikit. Dia ingat dia je nak cepat. Saya pun nak cepat ni. Ada temuduga kat Bentara Corp. Tapi tak apalah. Saya bawak mak ke klinik dulu.
“Temuduga tu?” Makcik tu bersuara. Nampak sangat serba salah dia.
“Tak apa mak. Mungkin bukan rezeki saya.” Walaupun aku berharap sangat dapat kerja kat Bentara Corp tapi masa tu, makcik tu lebih penting.
“Tapi ma…”

“Dah. Tak payah nak tunjuk baik dengan mak saya. Saya boleh bawak mak saya ni ke klinik.” Aku potong cakap dia dan terus bawa makcik tu klinik berdekatan.
Pap! Aku hampir melompat. Lama juga rupanya aku buat sesi mengingati kembali kejadian itu. Spongebob tu tersengih-sengih tengok aku terkejut.

“Dah ingat?” Aku angguk tapi masih tak faham kaitannya.
“Kalau awak nak tahu makcik yang awak mengaku emak awak tu, sebenarnya Puan Sri Qamariah, mama saya.” Buat sekian kalinya aku melopong di depan encik Qamarulzaman ni.
“Awak salah faham hari tu. Saya baru turunkan mama kat situ sebab dia nak ke bank. Masa turun kereta, mama terpelecok dan saya pula tak perasan. Terus pergi dari situ. Bukan saya langgar dan lari, ye.
“Lepas awak baling kasut baru saya sedar. Itu yang saya cepat-cepat keluar nak tengok mama. Tengok-tengok dia dah ada anak baru. Anak baru dia tu pulak marah saya sampai tak henti mulut. Siap curah air milo lagi.
“Memang awak lewat temuduga hari tu tapi arahan daripada Puan Sri Qamariah, budak perempuan yang sanggup hilang peluang kerja semata-mata nak bawa dia ke klinik, kena ada tempat kat Bentara Corp. Puan Sri punya arahan Tan Sri pun tak boleh kata apa.
“Saya nak menyampuk masa awak marah-marah tu tapi mama bagi isyarat jangan. Saja dia nak tengok sejauh mana awak sanggup pertahankan dia. Sebab tu saya terkejut tengok awak masa awak terlanggar saya hari tu. Sebab awak juga saya dah tak sempat nak pilih baju, rembat yang mana sempat. Nak kejar meeting. Baju kuning terang dan seluar coklah muda tu saya dah tak pakai sampai sekarang.”
Ini rupanya kisah di sebalik tabir kejadian hari tu. Tapi sumpah aku tak ingat langsung siapa yang aku marah. Aku cuma risaukan makcik tu.

“Sejak itu juga hati saya dah tak boleh nak tolak kehadiran awak, Mel. Tiga tahun saya ikuti perkembangan awak secara diam. Razlan yang jadi tempat saya curahkan apa yang saya rasa pada awak.
“Kalau saya tak sabar nak memperisterikan awak, mama lima kali lebih excited nak jadikan awak menantu.” Aku terdiam. Kali ini aku benar-benar kehabisan idea.

“Kalau saya tak nak kat encik Qamarul, boleh tak?” Dah keluar soalan bodoh aku.
“Tak boleh dan saya tak akan benarkan. Awak kena nak juga kat saya.” Dia jawab juga soalan aku bodoh aku dengan jawapan yang juga bodoh.
**********************************************************************

“Macam mana you boleh bertunang dengan Qamarul?” Aku angkat muka sebaik suara itu menembusi pendengaran. Si Zeta Jones tiruan dah berdiri depan meja aku. Siap bercekak pinggang. Dengan blous pink ikut bentuk tubuh, rambut beralun yang diwarnakan perang muda dan skirt ketat hitam, sekali pandang macam ikan duyung pulak.
Aku berpaling ke kiri dan ke kanan melihat kalau sebenarnya kata-kata dia tu ditujukan kepada orang lain. Memang ditujukan untuk aku kerana tak ada orang kat finance department ni. Maklumlah waktu lunch. Aku je yang tak keluar.

Sampai jugak makcik ni di depan aku. Aku tunggu jugak bila masanya dia nak gugurkan bom atom lepas si spongebob tu terus edarkan kad undangan perkahwinan sehari selepas aku minta tangguh setahun lagi.
“Setahun lagi? Saya kalau boleh nak heret awak ke pejabat kadi sekarang jugak, awak nak minta tangguh? Sorry. Permintaan tak dilayan.” Itulah yang dia kata dengan muka singa. Lepas tu siap halau aku keluar bilik. Marahlah konon. Bajet aku kecut perut dia marah. Aku saja tarik pintu bilik dia kuat-kuat. Tunjuk perasaan.
Sampai kat tempat aku, ada SMS masuk.
‘Pecah pintu bilik saya, potong duit hantaran.’ Hek eleh, itupun nak berkira.
Esoknya datang pejabat habis staf Bentara Corp ucapkan tahniah. Mulanya aku tercengang jugak tapi lepas Puan Hayati tayangkan kad undangan barulah aku faham.
Bukan Zeta Jones tu saja yang terkejut. Semua yang dapat kad undangan tu terkejut. Maunya tak. Angin tak ada, ribut tak ada tau-tau aku bakal jadi isteri CEO Bentara Corp. Si Zeta tu mahu tiga empat puluh kali terkejut. Macam mana si Shafi’e yang kerja biasa-biasa tu boleh jadi Qamarulzaman, the CEO.
Maka sekali lagi aku menceroboh bilik spongebob itu waktu lunch untuk menyerangnya tetapi strategi aku makan diri kerana dalam bilik itu Puan Sri Qamariah, Tan Sri Abdul Qadir dan kakak sulung spongebob, Qatrunnada, sedang bersidang membincangkan perihal majlis kami.
Aku yang semenjak dua menjak ni selalu saja masuk bilik dia tanpa minta kebenaran dulu sebab tahu dia memang tak akan marah, terus berpatah balik sebaik nampak mama, ayah dan kakak dia tapi dah terlambat.
Puan Sri Qamariah dan Kak Nada beria-ia ajak aku menyertai persidangan itu sedangkan Tan Sri Abdul Qadir tersenyum-senyum tengok aku yang dah tak ketahuan. Si spongebob tu mengangkat kening. Sempat mengadu aku minta tangguh perkahwinan.
Free je aku kena ceramah perdana dengan bakal mak mentua aku. Kak Nada tanya mengapa nak minta tangguh aku beritahu yang adik dia tu saja nak mainkan aku tak beritahu perkara sebenar, dia pula terkulat-kulat kena serangan tiga penjuru.
“Hei! Perempuan. I tanya you. Macam mana you yang jadi tunang Qamarul? You jumpa bomoh nak guna-gunakan dia kan?” Oit, jauh jugak aku mengelamun. Kesian perempuan depan aku ni. Dah susah payah datang dari south wing bangunan ni, jenuh perah otak nak cari tuduhan yang tak masuk akal. Bagus punya dia bazir air liur, aku pulak sempat dok mengelamun.
“First, I ada nama ok. Nama I Camelia, in case you tak tahu. Kedua, kalau nak tahu macam mana I boleh bertunang dengan encik Qamarulzaman, itu you kena Allah. I tak ada jawapan. Ketiga, I tak percayakan bomoh lebih daripada I tak percayakan US dan Israel. Daripada nak berhabis duit cari bomoh nak guna-gunakan encik Qamarul, lebih baik derma kat rumah kebajikan. Ada jugak saham kat akhirat.”
Aku jawab balik pertanyaan dia dengan gaya dia juga. Bercekak pinggang. Kalau Zeta Jones tu ingat aku akan bawak watak perempuan yang cuma boleh menangis dan merintih sedih diserang oleh teman wanita tunang atau kekasihnya macam dalam novel, memang dia akan kecewa.
Tak adanya aku nak biar orang lain sesedap mulut nak marah aku. Alangkan si spongebob tu pun aku berani menjawab, inikan pula Zeta. Apa dia boleh buat?
“Kalau tak ada apa-apa how come dia boleh jatuh cinta dengan you yang entah apa-apa ni. I tau sangat…”
“Yang kau nak menyinga kat sini apasal? Pergilah tanya dia kalau kau tak malu.” Aku potong cakap dia. Tak ada berI-you kali ini.
“You jangan harap…”
“Jangan harap apa, Norzita?” Suara spongebob bergema dari belakang Zeta Jones. Sumpah aku tak nampak bila masa dia menapak masuk department aku. Agaknya sibuk dok berdebat dengan makcik ni.
“Qamarul. Tak ada apalah. I cuma nak ucapkan tahniah kat tunang you ni.” Dan-dan dia tukar watak jadi kucing miang balik.

“Tahniah apanya? Dia datang serang saya. Siap tuduh saya guna-gunakan encik Qamarul supaya jatuh cinta dengan saya. Cik Norzita, spongebob ni dah ada depan you. Tanyalah apa yang you nak tanya.”
Berubah muka Zeta Jones tu dengan aku cakap macam tu. Aku dah kata dia silap banyak main serang Puteri Camelia macam tu. Tak adanya aku nak cover kau.


“I..I..main-main je. Takkanlah I nak kata bakal isteri CEO macam tu. Maaflah kalau you terasa. Congratulation. I pergi dulu.” Tergagap-gagap nak susun ayat. Lepas cakap macam tu dia terus blah.
Tinggal aku terkontang-kanting mengerutkan dahi melihat si spongebob ni dok renung aku macam nak telan. Telanlah kalau berani!

“Apa?” Aku bersuara jugak. Kali ini gaya dah bertukar. Kalau dengan Zeta Jones, aku bercekak pinggang, dengan tunang ‘tersayang’ ni aku berpeluk tubuh.

“Spongebob?” Suara dia agak keras bertanya. Muka aku pulak berubah. Macam mana boleh terkeluar pulak gelaran dia daripada mulut aku ni?
Tak tahu nak jawab, aku angkat bahu.

“Macam ni punya handsome, awak samakan dengan spongebob?” Aku buat muka lagi. Tak habis-habis nak perasan.
“Mengapa tak turun makan?” Dia tukar topik bila lihat aku tak layan.
“Wajib ke?” Dia jegilkan mata dengan jawapan sepatah aku.
“Sebab tu ada lunch break.”
“Tapi tak semestinya kena makan kan?”
“Awak ni sengaja nak sakitkan hati saya, kan?”
“Encik Qamarul sakit hati ke?” Muka dia dah merah. Marahlah tu.
“Camelia.” Suara dia dah naik sedikit.
“Ya, saya.”
“Kan saya cakap jangan berencik dengan saya. Awak tu bakal isteri saya.” Habis tu, aku nak bahasakan dia apa? Takkan main awak je.”

“Bakal isteri. Bukan isteri lagi. Tak mustahil kat depan bakal itu ada perkataan bekas.”
Jangan bagi saya marah.” Suara dia naik lagi. Bagus juga bagi dia sakit hati. Untung-untung dia tak jadi kahwin terus dengan aku.

“Kalau encik Qamaruk nakmarah, saya tak boleh buat apa. You are the boss.”
“Apa yang awak tak puas hati sebenarnya ni?”
“Banyak encik Qamarul. Nak saya listkan satu persatu?” Suara aku pula dah naik.
Dia meraup muka. Masih tegak berdiri di depan aku.
“Lagi-lagi pasal tu. Saya dah minta maaf. Bukan niat saya nak permainkan awak, Mel. Tak bolehke awak lupakan saja benda tu?”
Amboi! Senang banyak suruh aku lupakan macam tu. Yang kena aku, bukan dia. Senanglah dia cakap.

“Tak boleh.” Kali ini kami sama-sama terdiam. Lama. Dia masih merenung aku dan aku pun masih setia merenung dia. Akhirnya dia yang larikan pandangan.
“Kalau awak buat semua ni nak bagi saya marah lepas tu batalkan perkahwinan kita, awak silap. Awak akan jadi isteri saya bila sampai masa Camelia.” Selesai berkata dia terus menapak keluar.
Dalam sepuluh langkah, dia berhenti dan berpaling.

“Mulut awak tu ada saja benda nak menjawab kan? Tak apa. Lepas kahwin nanti tahulah saya nak ajar mulut awak tu.”
Kelepuk! Kotak tisu yang ada atas meja dah selamat mendarat di dahinya.
“Cakap lagi benda tak senonoh, saya baling botol air mineral ni.” Aku tunjuk ke arah botol mineral besar yang masih penuh.

“Saya reda je awak nak baling apa pun masa ni. Sebelum awak jadi hak saya inside and outside. Tak lama dah pun. Tiga minggu je lagi.” Dia cepat-cepat angkat kaki bila tengok aku dah capai botol air mineral.
Tau takut.

**********************************************************************
Subuh itu lama aku berteleku di atas sejadah. Mohon dipermudahkan segalanya. Mohon segala-galanya selamat. Juga mohon hati aku dibukakan sepenuhnya untuk lelaki yang bakal memegang kunci untukku ke syurga dalam lama empat lima jam lagi.

Sungguh aku tak tahu macam mana nak mengharungi kehidupan berumah tangga dengan encik Qamarulzaman kerana sejarah hubungan kami berdua sebulan sebelum perkahwinan ini cukup haru biru.
Yang mengharu-birukan perhubungan itu aku. Bukan dia. Kadang-kadang aku tertanya sendiri betulkah dia sabar dengan karenah aku selama sebulan ini atau dia sebenarnya menunggu masa untuk membalas dendam bila semua kata-kata dan arahan dia aku tak boleh balas jika tak melanggar batas agama?

Keraguan tu timbul pun sebab Nadia. Selalu sangat takutkan aku dengan pepatah sungai yang tenang, jangan disangka ada buaya.
“Kau jangan over sangat sakitkan hati tunang kau tu. Buatnya dia saja je kumpul apa yang kau buat kat dia sebab nak balas lepas dah kahwin nanti, macam mana? Bukan balas dalam bentuk lepuk kau sana sini tapi kau faham-faham sajalah bentuk balasan yang macam mana?” Kata dia satu hari dengan senyuman gatal nak mampus sambil angkat-angkat kening.
Personaliti dia sebagai tunang aku dan encik Qamarulzaman, the CEO sebelum semuanya terbongkar cukup berbeza. Sebagai CEO, sesedap mulut dia nak mengutuk aku sedas dua. Tak ada sipi-sipi kalau dia nak serang aku.
Tapi sebagai tunang aku, dia tadah je telinga dengar apa pulak yang akan keluar daripada mulut aku setiap kali berjumpa. Walaupun aku tahu kadang-kadang kesabaran dia tercuit, dia tak pernah tengking aku. Habis sangat dia diam.

Semakin matahari meninggi, semakin aku tak senang duduk. Akad nikah pukul 11 pagi. Ada dua jam lagi sebelum aku bergelar Puan Puteri Camelia. Gelisahnya aku sampai Nadia pun pening.
“Kau boleh tak jangan berjalan ke sana ke sini macam orang mabuk? Aku peninglah.” Dia merungut. Masa tu kami berdua saja dalam bilik pengantin yang sudah dihias cantik. Rasa sayang pulak nak tidur malam nanti.

Nadia ambil cuti dua minggu sebab nak teman aku sekaligus menjadi mak andam aku. Rupanya kawan aku ni pernah pergi kursus kecantikan setiap kali cuti semester. Cuti tu pun sebab aku paksa encik Qamarulzaman yang luluskan sebab dia tak bagi Nadia cuti sampai dua minggu.
“Kalau encik Qamarul tak luluskan cuti Nadia, kahwinlah seorang. Saya tak nak balik.” Sambil merungut kecil dia tonyoh jugaklah borang permohonan cuti kawan aku tu.
“Ni kira dah salah guna kuasa saya sebagai tunang tau.”
“Sapa suruh bertunang dengan saya. Sempat je kalau nak cancel. Pergi kat si Zeta Jones tiruan tu.”
“Mulut tu…” Terus dia terdiam bila aku angkat frame gambar saiz 8R atas meja dia. Kena kat dahi dia, mau akad nikah bertampal bagai.
“Janganlah panggil saya encik. Cuba biasakan lidah tu panggil abang. Kan sedap telinga saya dengar.” Rasa ngilu je lubang telinga aku dengar perkataan abang tu.
“Panggilan tu eksklusif untuk suami. Encik Qamarul belum jadi suami. Lagipun saya dah ada abang.”
“Practise makes perfect sayang. Saya tuntut panggilan tu lepas kahwin nanti.” Malas nak layan aku keluar dari bilik dia yang aku ceroboh sekali lagi semata-mata nak suruh dia tandatangan borang permohonan cuti Nadia.
“Woit! Boleh pulak dia berangan.” Tepukan keras Nadia kat paha mengejutkan aku.
“Apanya?”
“Aku tanya kau nak honeymoon kat mana?” Dia ulang balik pertanyaan sambil tangannya cekap menyolek aku. Jangan jadi opera Cina sudah.
“Tak payahlah nak berbulan madu segala. Bukan wajib pun benda tu.”
“Kau ni. Dapat laki kaya tak nak pergi honeymoon. Kalau akulah, aku demand je pusing Europe.” Bernas jugak idea si murai ni. Nak sangat kat aku kan. Inilah masanya aku paw dia cukup-cukup.
“Kau dah habis khatam buku Rahsia Rumahtangga yang aku bagi tu? Aku beli khas untuk kau tau.” Dia mula masuk mode gatal merenyam. Aku jawab dengan jelingan.
“Tak ada masa aku nak baca semua tu.”
“Eh, tak boleh, Kau kena baca. Baru ada feel nak dot…dot…dot.” Dia nikan. Sajalah nak bagi aku kena cirit birit. Yang nak kena bincang bab dot..dot…dot tu buat apa.
“Tak adanya nak feel segala benda. Aku nak buat bodoh je.”
“Eloklah jugak kau buat bodoh tu. Nanti boleh cik abang kau tu ajar apa-apa yang patut.” Ke situ pulak dia.
“Jangan cakap pasal tu boleh tak? Aku rasa perut aku memulas balik.”
“Kau jangan nak auta nak ke tandas segala. Aku dah arif sangat taktik kau tu. Duduk sini diam-diam.”
Selesai bersolek dan memakai pakaian pangantin serba putih, aku dan Nadia sama-sama menatap wajah aku yang sudah ditransformkan itu di cermin.
“Cantik jugak aku ni, Nad.” Tiba-tiba pulak rasa nak memuji diri sendiri.
“Tak adanya cantik jugak. Memang cantik. Allah jadikan manusia tu sebaik-baik kejadian. Lupa?” Nadia perli aku.
“Tapi kalau hidung aku ni mancung macam Aishwarya mesti lagi cantik.” Terdongak aku bila Nadia tarik veil lepas aku cakap macam tu.
“Kau dengar cakap aku ni perempuan oi! Hidung kau yang tak mancung tu dah cukup sesuai dengan mata, kening, mulut, pipi dan dahi kau. Cuba kau memandai pergi buat nose job, kau ingat sesuai lagi ke hidung baru kau tu dengan apa yang ada kat muka kau ni?”
Aku sengih. Nadia ni cukup pantang kalau orang nak pertikaikan rupa. Tak ada cacat celanya kejadian Allah. Yang nak mencacatkan rupa tu kalau perangai serupa Yahudi. Itu yang selalu dia ulang pada aku.

Aku pun sebenarnya bersyukur sungguh-sungguh dengan rupa paras yang Allah berikan pada aku. Cuma seronok nak dengar Nadia berleter.
Aku dan Nadia sama-sama berpaling mendengar ketukan di pintu bilik. Mak lang menjenguk.


“Pengantin lelaki dah sampai.” Ringkas saja ayat mak lang tapi dah cukup membuatkan aku memerlukan oksigen tambahan.
Kaki aku angkat perlahan keluar daripada bilik diiringi Nadia menuju ke ruang tamu yang sudah penuh dengan sanak saudara aku dan rombongan lelaki.
Saat melihat encik Qamarulzaman segak duduk berdepan dengan ayah aku yang akan menikahkan kami, aku tahu tempoh aku berperang dengan hati sendiri untuk menerimanya sudah expired.
Ini masanya untuk aku menetapkan hati untuk menerimanya. Baik dan buruk. Aku menarik nafas panjang. Zikir dan selawat yang tak putus-putus banyak membantu meredakan resah gelisah aku.
Ya! Allah, sesungguhkan Kau yang Maha Mengetahui segala apa yang tersembunyi.

**********************************************************************

Aku masih berteleku di atas sejadah selepas solat Isyak. Sudah sembilan jam berlalu tetapi ciuman di dahiku masih terasa hangatnya. Perlahan aku menyentuh cincin kahwin yang tersarung elok di jari manisku. Terasa seperti baru semalam mak memberitahu ada orang datang merisik. Serasa seperti baru semalam aku bertunang.
Baru semalam aku berkenalan dengan Shafi’e lewat panggilan telefonnya dan bagaikan baru semalam juga aku menyerang dia habis-habisan sebaik mengetahui identiti sebenarnya.
Dan hari ini, dia yang kelibatnya cukup aku tidak suka sudah sah bergelar suami. Lelaki itu membuka jalan seluas-luasnya untuk aku memasuki syurga Allah daripada mana-mana pintu yang aku suka dengan mentaatinya tanpa membelakangkan Allah dan Rasul dan lelaki itu juga bakal mencampakkan aku ke dalam neraka dengan cuma tidur membelakangkan dia.
Mampukan aku memikul amanah sebagai isteri? Terdayakan aku menurut nasihat dan ingatan yang mak dan ayah berikan pada malam sebelum aku bergelar isteri?
Bersediakah aku dengan semua ini? Semua pertanyaan itu berlumba-lumba masuk ke dalam fikiran.

“Mel.” Aku segera menoleh sebaik mendengar panggilan itu. Bila pula dia masuk? Aku tak dengar pun. Aku segera bangun.

“Baru balik masjid?” Dia mengangguk menjawab pertanyaan aku. Mengapa pula dengan mata aku ni? Takkan masalah kornea aku yang Nadia kata kronik itu dah pulih kut?
Sebab aku nampak dia lain sangat memakai baju Melayu ungu lembut dengan kain pelikat tenun warna senada. Oklah aku mengaku. Nampak handsome. Tapi bab Fernando Torres tu aku masih was-was. Kena belek lagi lepas ni.

Melihat aku teragak-agak nak menanggalkan telekung, dia tersenyum. Sudah. Mata aku dah ok, masalah jantung pula menyerang. Gedebak, gedebuk semacam tengok dia senyum.
“Aurat Mel dah halal…” Aku pula tersenyum kerana dia tahu mengapa aku teragak-agak nak tanggalkan telekung.

“…luar dalam.” Senyuman aku mati dengan ayat akhir dia tu. Rasanya muka aku dah berubah warna.
Telekung akhirnya aku tanggalkan dan sidai. Rambut melepasi paras bahu aku betulkan dengan tangan. Nasib baiklah rambut aku ni jenis guna jari pun boleh. Pakcik tu masih tegak berdiri dok tengok aku.
Memanglah dia tu suami tapi janganlah tengok aku sampai macam tu sekali. Malu tau!

“Janganlah tengok saya macam tu. Saya tak selesa.”

“Tapi abang selesa tengok Mel macam ni. Sebab Mel tak pernah macam ni. Serba salah. Selalunya selamba je balas renungan abang.”
Sebab masa tu awak bukan siapa-siapa dan tak boleh buat apa-apa. Sekarang ni awak tu suami saya dan boleh buat apa-apa bila-bila masa, aku jawab dalam hati.
Dalam masa dok senyum tengok aku serba salah, boleh dia tiba-tiba tanggalkan baju Melayu. Biji mata aku dah tak tahu nak menghala ke mana.


“Tak payah malulah, sayang. Bukan berdosa pun. Lebih dari tengok pun tak berdosa. Dapat pahala lagi. Ibadah tu.” Aku dah pegang botol losyen atas almari solek.
Walaupun syaitan bagus punya menghembus aku kiri kanan depan belakang suruh baling je botol losyen tu, iman aku masih ada rupanya.


“Dah ready?” Aku rasa jantung aku tercabut dengar ayat yang tak mahu aku dengar tu keluar daripada mulut dia. Dahla tak reti-reti nak pakai baju.
Biar betul dia ni. Sekarang ni baru pukul 9. Malam masih muda. Adik beradik penuh lagi satu rumah. Kut ye pun aku dengan dia dah halal, bawak bersabarlah.

“Mel?”
“Hah?”
“Abang tanya dah ready ke?”
“Tak boleh postpone ke?” Aku redah je tanya dia.
“Nak postpone kenapa pula?” Dia tanya aku balik.
“Awal lagi ni. Adik beradik pun ramai lagi.”

“Pasal masih awal, pasal adik beradik ramai lagi la abang ajak ni. ”
Ya Allah, dia ni. Tak reti malu ke? Memanglah menolak ajakan suami tu dosa besar tapi takkanlah tak ada excuse dalam keadaan genting macam ni? Meraikan adik-beradik pun besar pahalanya, kan? Lagipun bukan senang nak berkumpul. Terlupa pula aku doa melembutkan hati saat-saat macam ni.

“Malam esok tak boleh?” Aku lembutkan suara aku semampu yang boleh. Kut-kut dia boleh cair.
“Malam esok ramai dah tak ada. Tak best.” Apa punya jawapan tu? Apa kejadahnya dia nak beritahu semua orang?
“Awak ni kan…” Suara aku dah sedikit keras.
“Apanya? Lagi satu abang ni dah jadi suami. Mel janji nak panggil abang lepas kahwin.” Sempat pula dia mengungkit janji aku tu. Macam mana nak tolak ni? Aku taknaklah tidur dalam laknat malaikat sepanjang malam pada malam pertama aku ni.
“Benda tu nanti-nanti pun boleh. Bukan saya nak ke mana dah pun. Malam ini jomlah berkenalan dengan adik beradik saya dulu.” Terus terang je senang. Tak payah kona-kona. Orang business ni bukan faham bahasa bengkang bengkok.
“Memang pun abang ajak Mel bawak abang pergi berkenalan dengan adik-beradik Mel. Sementara dia orang masih ada. Esok semua dah pakat-pakat nak balik.” Terkedu aku dengar jawapan dia. Ya, Allah! Camelia. Apa yang kau fikir? Dia ajak pergi jumpa adik beradik tapi aku pula yang fikir lain. Siapa sebenarnya gelojoh ni?
“Mel ingat abang ajak ke mana?” Muka aku sekali lagi bertukar warna. Nada suara dia dah lain. Nada mengusik. Ada ketawa kecil mengiringi pertanyaan itu.
“Orang cakap lain, dia faham lain.” Ketawa dia makin kuat.
“Diamlah.”
“Tapi kalau Mel nak, abang on je. No hal. Lagipun memang hak isteri kan nak dapat nafkah batin.” Tak kuasa dengar dia merapu aku tarik tangan dia keluar bilik berjumpa dengan adik beradik aku yang semuanya pakat tersenyum simpul semacam.

Aku biarkan saja dia melayan sepupu sepapat aku yang lebih ramai lelaki daripada perempuan. Malas nak masuk campur. Mesti ada unsur-unsur 18sx.
Jam sebelas aku dah ada dalam bilik. Badan letih tapi aku yang dah ok daripada masalah kornea kronik ni tak mahu pulak pejam. Kemain lagi dia hari ni. Kalau hari biasa tu, tak letih macam mana pun senang je nak tertutup.


Mendengar pintu bilik ditolak, aku pura-pura pejam mata. Tapi hembusan kecil pada mata memaksa aku celik balik. Hemm…bukan setakat celik tapi terbeliak bila tengok muka dia betul-betul depan mata aku. Naik juling mata aku nak fokus pada muka dia.
Nasib baiklah sekejap je dia buat kerja tu.


“Janganlah tidur lagi. Temanlah abang.” Katanya sambil mengiringkan badan di sebelah kanan aku. Sebelah tangannya dia melingkari kat pinggang aku dan tarik badan aku mengiring mengadapnya.
Aku harap sangat jantung aku ni kuat terlekat pada tangkainya. Boleh tercabut kalau dia selalu buat macam ni. Dahla renungan dia amat menggoda. Silap-silap haribulan aku yang kerjakan dia malam pertama ni.

“Mel marah abang lagi?” Dia bertanya lembut sambil tangannya membelai rambut aku. Aku cuma menggeleng. Memang betul pun. Rasa marah dan geram aku terbang entah ke mana sebaik dia melafazkan akad nikah.
“Say something sayang. Kalau tidak sebelum ni ada saja cakap abang Mel nak menjawab.”
“Saya dah tak marah.”
“Taknak cakap macam tu. Say ‘Mel dah tak marah abang’.” Bulat mata aku tengok dia.
“Please sayang.” Nak tergelak jugak tengok encik Shafie a k a encik Qamarulzaman ni merayu.
“Mel dah tak marah abang Pie.” Dia jentik hujung hidung aku lepas aku cakap macam tu. Aku dah tak tahan gelak. Buruk betul dengarnya.

“Mulut tu memang nak kena. Mel dah tak boleh baling barang kat abang tau.” Spontan tangan kiri aku tutup mulut. Bimbang juga kena ambush.
Tangan aku dia tarik perlahan. Dia tarik aku makin dekat. Jantung aku dah sikit sangat terlekat kat tangkai.

“Jangan berpaling dari abang, Mel. Memang salah abang tak berterus terang sedari awal tapi abang minta cintai abang macam mana Mel cintakan Shafi’e. After all kami orang yang sama.”
“Abang serius dengan apa yang pernah abang beritahu Mel. Abang cintakan Mel. Abang cintakan Mel dengan setiap udara yang abang sedut tanpa abang meletakkan Mel melebihi kecintaan abang pada Allah dan Rasul. Itu janji abang sebagai mahar. Mahar cinta Camelia.
“Abang tak akan tuntut hak abang selagi Mel tak bersedia. Abang tak mahu Mel layan abang atas nama tanggungjawab dan kewajipan seorang isteri. Abang nak Mel balas setiap sentuhan, belaian dan cumbuan abang dengan penuh rasa cinta dan kasih untuk abang. Untuk itu, abang sanggup tunggu, sayang.”

Aura Neng Yatimah sekali lagi menyapa aku. Dia dah kembali Shafi’e aku. Shafi’e yang hilang sebulan ini. Menjadi Shafi’e yang aku amat aku rindui sebulan ini.
Setitis airmata aku yang diseka dengan jarinya dibawa ke mulut.

“Masin. Jangan menangis, sayang. Jangan buang airmata Mel sebarangan. Terlalu mahal harganya bagi abang. Boleh kena penyakit kalau abang selalu telan airmata Mel sebab tak mahu ia menitis ke bumi. Membazir, sayang.”

Pujuklah aku elok-elok. Yang keluarkan segala madah pujangga tu buat apa. Bukan nak reda, lagi menjadi adalah.
Lantaklah orang nak cakap apa pun. Bukan satu perkara memalukan kalau aku sebagai isteri nak tuntut hak aku.

“Abang..”
“Mel cintakan abang. Sepenuh hati. Hanya Allah yang boleh tarik balik cinta Mel untuk abang tapi Mel tak akan berhenti berdoa cinta ini kekal selamanya untuk abang. So, my dear husband, stop talking. Just make love to me. Mel nak hak Mel sekarang. Now.”
Aku potong cakap dia. Dia nampak macam terkejut pada mulanya.
Tapi senyuman kembali menghiasi bibir yang entah mengapa cukup aku dambakan kehangatannya malam ini dan malam-malam seterusnya.
Saat telingaku menangkap doanya memohon perlindungan daripada syaitan, hati aku tidak henti-henti menyeru: “Abang, masuklah ke dalam hati Mel dan jangan keluar lagi.”